Zainal harap anak buah tak cuai

Zainal harap anak buah tak cuai

PENGENDALI Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan berharap tiada lagi kesilapan mudah dilakukan anak buahnya terutama ketika bertahan menjelang aksi kedua berdepan PKNS FC Sabtu ini.

Selepas mengakui masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan Sabtu lalu, Zainal memberitahu ancaman berdepan The Red Ants lebih sukar dan menuntut pemain memberikan fokus dalam misi mengutip mata penuh.

MU mengutip mata penuh pertama selepas mencatatkan keputusan 2-1 ketika bertemu PJ City tempoh hari.

Namun, kebangkitan lawan pada separuh masa kedua meresahkan Zainal hingga memaksa legenda bola sepak itu melihat kembali posisi yang perlu dibaiki.

“Saya tidak nafikan semasa aksi pra musim mereka menunjukkan peningkatan, tetapi ia berlainan dengan aksi sebenar dan ketika itu kelemahan (ketika bertahan) dapat dilihat. “Tetapi, ia sudah diperbaiki.

“PKNS memiliki barisan pemain yang baik dan mereka juga antara pasukan ternama, jadi kita berharap dapat memberi tentangan semasa perlawanan,” katanya

Zainal turut menuntut Sang Kancil kekal fokus dan tidak memandang rendah skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.

“Kita berhasrat untuk menunjukkan mutu yang baik (ketika perlawanan) dan mengutip mata penting di sana.

“Saya yakin pasukan ini akan lebih meningkat,” katanya.

CATEGORIES
TAGS