‘You manusia jujur’ – pelancong China

‘You manusia jujur’ – pelancong China

Sikap yang perlu diteladani rakyat Melaka

BANDARAYA MELAKA 8 Okt. – ‘You manusia jujur’ – itulah ungkapan yang keluar daripada mulut seorang pelancong China kepada seorang jurumudi bot Melaka River Cruise (MRC) yang memulangkan semula telefon bimbit beliau yang tertinggal di dalam bot tersebut, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, serombongan 20 pelancong dari China menggunakan perkhidmatan bot MRC untuk menyusuri Sungai Melaka dari jeti Taman Rempah di sini, selepas kira-kira 45 minit perjalanan, rombongan tersebut meninggalkan lokasi tanpa mengetahui telefon bimbit salah seorang daripada mereka tertinggal di dalam bot.

Namun, Jurumudi Bot MRC, Khairul Arif Abd. Hakim yang membuat pemeriksaan biasa selepas penumpang meninggalkan bot terlihat sebuah telefon bimbit yang berjenama Iphone XS tertinggal di dalam bot tersebut.

Bertindak untuk mengejar pemiliknya, bas yang membawa rombongan itu telah meninggalkan lokasi dan mengambil langkah terbaik dengan meletakkan telefon tersebut di kaunter tiket.

Kira-kira jam 10.15 malam, telefon tersebut berdering dan beliau dimaklumkan bahawa yang menghubungi telefon tersebut adalah pemilik asal lalu meminta pelancong China itu datang untuk mengambil telefon tersebut.

Khairul Arif, 31, yang telah berkhidmat selama sembilan tahun sebagai jurumudi bot MRC memberitahu, amanah dan jujur menjadi amalannya selama ini dan kejadian tersebut bukan pertama kali dialami sepanjang berkhidmat sebagai jurumudi MRC, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

“Banyak kali dah kejadian tersebut berlaku (barang berharga tertinggal dalam bot) termasuk wang tunai, langkah yang sama juga saya ambil dan pemiliknya berjaya mendapatkan semula wang tersebut, sikap ini bukan hanya dilakukan oleh saya malah semua jurimudi MRC yang mempunyai sikap tersebut dan ia sememangnya menjadi salah satu peraturan yang dikeluarkan pengurusan PPSPM,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPSPM, Azlan Abidin memuji sikap ikhlas dan jujur Khairul Arif yang memulangkan semula barangan yang tertinggal milik pengunjung itu.

“Pengurusan PPSPM mengucapkan tahniah dan terima kasih kepadanya kerana sikap yang ditunjukkan itu melambangkan ketelusan serta integriti yang tinggi sebagaimana yang dibawa oleh PPSPM.

“Sehubungan itu, saya berharap apa yang dilakukan Khairul Arif ini akan dapat dicontohi semua kakitangan bukan hanya para jurumudi MRC malah semua kakitangan di semua bahagian di PPSPM.

“Saya percaya, dengan cara ini pengunjung MRC akan lebih berkeyakinan dan tidak merasa bimbang jika barangan berharga yang mereka miliki tertinggal semasa meninggalkan bot MRC ” tegasnya.

 

Oleh AZHAR YUSOF

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES