Wendy mara ke final, tiket Sukan Olimpik 2020 dalam tangan

Wendy mara ke final, tiket Sukan Olimpik 2020 dalam tangan

Tahniah Wendy!

PENERJUN negara, Wendy Ng Yan Yee meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo menerusi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita selepas mara ke final Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, hari ini.

Penerjun berusia 26 tahun itu memperoleh tiket awal ke Sukan Olimpik selepas berada di kedudukan ke-10 terbaik dengan catatan 288.60 mata pada saingan separuh akhir.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu bermula di kedudukan ke-10 dengan rekod 58.50 mata seterusnya bangkit pada terjunan kedua untuk berada di tangga ketujuh dengan jumlah keseluruhan 123.60 mata.

Namun pada terjunan ketiga, Wendy tergelincir ke tempat ke-11 selepas hanya mendapat 49.50 mata.

Beliau gagal memperbaiki ranking walaupun melakukan terjunan yang lebih baik pada terjunan keempat dengan 60.00 mata, bagaimanapun, berjaya naik satu anak tangga selepas terjunan terakhir dengan jumlah terkumpul 288.60 mata.

Acara itu diungguli pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 dari China, Shi Tingmao yang mengumpul 359.40 mata diikuti Maddison Keeney dari Australia (348.10) dan seorang lagi penerjun China, Wang Han dengan 345.80 mata

Individu lain yang layak ke final ialah penerjun Kanada, Jennifer Abel, Tina Punzel (Jerman), Pamela Ware (Kanada), Sayaka Mikami (Jepun), Grace Reid (Great Britian), Viktoriya Kesar (Ukraine), Inge Jansen (Belanda) dan Esther Qin dari Australia.

Hanya 12 daripada 18 penerjun terbaik pada saingan separuh akhir mara ke acara final dan seterusnya melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejayaan ini juga merupakan slot Sukan Olimpik Tokyo pertama buat Wendy dan juga ketiga buat sukan terjun negara apabila terdahulu gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee meraih tiket pertama ke Olimpik menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Pandela turut meraih tiket ke Sukan Olimpik melalui acara 10m platform individu.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES