Warga IPT bantu mangsa banjir

Warga IPT bantu mangsa banjir

Terbaiklah warga IPT kerana menyelami masalah yang dihadapi penduduk terjejas banjir

DURIAN TUNGGAL 11 Julai – Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini turun padang membantu membersihkan rumah warga emas yang terlibat banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di sini.

Antara IPT terlibat termasuk Multimedia University (MMU), Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa) dan Briged Sukarelawan (BriSKK) Kolej Komuniti Negeri Melaka.

Ketua Pusat Transformasi Komuniti MMU, Hani Suhaila Ramli berkata, program dibawah kendalian Sekretariat Tanggungjawab Sosial Korporat Post Exco Pendidikan itu merupakan inisiatif terbaik
meringankan beban mangsa banjir terbabit.

“Selain melakukan gotong-royong, kita juga menyampaikan sumbangan makanan dan barangan penjagaan kebersihan kepada mereka. Sumbangan ini merupakan hasil dari kutipan dana dari IPT terlibat.

“Penglibatan wakil IPT menjayakan misi kecemasan di kawasan setempat sangat penting supaya matlamat kami dapat dilaksanakan dengan cepat dan sistematik,” katanya kepada MelakaKini.

Tambah Hani Suhaila, MMU sendiri sentiasa terbuka menjalankan tanggungjawab dengan mana-mana IPT di negeri ini khususnya melibatkan program kebajikan.

“Sebelum ini kami pernah melaksanakan pelbagai program seperti Program Pembelian Baju Raya, Program ‘Back to School’, Program Bantuan Hari Raya dan lain-lain lagi.

“Selain menggalakkan pembabitan pelajar bersama masyarakat setempat, program seumpama ini menjadi usaha pihak IPT menyumbang apa yang termampu kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Turut membantu menjayakan misi tersebut Japerun DUN Durian Tunggal, Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka dan Amal Relief (ARiF) Melaka.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS