Warga emas terlantar, hidup serba daif

Warga emas terlantar, hidup serba daif

Moga ada yang tampil hulurkan bantuan

SEMABOK 6 Sept. – Kedaifan ditanggung warga emas ini pastinya menyentuh hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Bukan hanya tinggal sendirian di rumah tidak sempurna, malah, Norlia Seman, 64, terpaksa mengesot untuk ke mana-mana.

Difahamkan selepas terlibat kemalangan jalan raya sejak Februari lalu, Norlia hanya mampu terlantar kerana kecederaan di kedua-dua kakinya.

Menurut anaknya, Aslin Sabtu,39, walaupun dia menetap di sebelah rumah Norlia tetapi dia sudah berkahwin dan perlu menguruskan keluarga sendiri.

“Biasanya memang saya dan makcik di belakang rumah yang uruskan mak. Kamilah yang sediakan makanan dan lain-lain.

“Tapi, saya sendiri risau bila dia tinggal sendiri. Pernah sekali dia keluar rumah kami tak sedar dan ia sangat berbahaya kerana dia tak boleh uruskan diri sendiri dan cuma mengesot,” katanya kepada MelakaKini ketika ditemui di Kampung Bukit Godek di sini.

Jelas Aslin, pintu rumah ibunya terpaksa dikunci dari luar.

“Selepas kejadian tersebut, kami buat keputusan kunci pintu supaya dia tidak merayau sendiri.

“Adakala dia meracau sendiri seolah-olah sedang bercakap dengan adik saya, walhal tiada sesiapa di rumah,” katanya.

Lebih membimbangkan, jika sesuatu berlaku kepada emaknya tanpa disedari.

“Takut juga kalau dia ambil pisau, jatuh dan pengsan semasa kami tiada. Sebab tu kalau boleh saya nak pihak berkenaan bantu kami cari jalan terbaik untuk emak.

“Mungkin kalau emak mendapat penjagaan di rumah orang tua-tua atau pusat kebajikan. Di sana ada orang yang boleh menjaganya dengan lebih baik,” katanya.

Ujar Aslin, dia juga menghadapi masalah kesihatan dan terpaksa bergantung dengan ubat.

“Bukan saya sahaja, empat lagi adik-beradik saya mengalami masalah tekanan. Jika saya tak makan ubat, memang saya tak boleh tidur. Malah setiap enam bulan sekali, saya perlu mendapatkan rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, saya kuatkan semangat jaga emak bersama makcik sebab adik-beradik yang lain tiada di sini. Dua daripadanya telah diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana masalah mental mereka.

“Seorang lagi baru sahaja meninggal manakala seorang lagi telah berkahwin dan menetap di tempat lain. Tinggal saya je yang ada dengan mak, itupun terpaksa duduk berasingan,” katanya.

Ditanya sama ada ibunya menerima sebarang bantuan, kata Aslin, ketika ini ibunya menerima bantuan lampin pakai buang dari JAPERUN Duyong sebanyak tiga bungkus sebulan.

“Semalam baru je pihak kebajikan telefon saya dan minta buat akaun bersama emak untuk tujuan bantuan.

“Lain-lain, kami bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk kurangkan beban saya dan makcik,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS