Wanita, remaja Tionghua sertai kursus roti canai

Wanita, remaja Tionghua sertai kursus roti canai

Semakin ramai berminat berniaga roti canai

TELOK MAS 21 Okt.- Seramai 30 peserta didedahkan dengan kemahiran membuat roti canai dalam program Youth Career (Y-Career) Siri 2 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka di sini.

Pegawai Pembangunan Ekonomi Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Mohsien Jamaluddin berkata, kursus lima hari bermula 14 Oktober lalu itu bertujuan membolehkan peserta menggunakan kemahiran membuat roti canai sebagai sumber pendapatan.

“Y-Career mensasarkan golongan B40 terutama yang menganggur atau mereka yang bekerja dengan pendapatan bawah RM4,000. Walaupun kursus ini hanya jangka pendek tetapi kemahiran yang dipelajari membolehkan peserta menjana pendapatan seterusnya menjadi usahawan berjaya.

“Kita juga sentiasa mengambil tahu perkembangan peserta selepas kursus tamat agar mereka menggunakan kemahiran itu sebaiknya. Berdasarkan maklum balas program sebelum ini, ramai peserta melakar kejayaan selepas menyertai Y-Career,” katanya kepada Melakakini selepas majlis perasmian penutupan program Y-Career Siri 2, di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Mas di sini.

Perasmian disempurnakan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JBS Negeri, Ahmad Syariffudin Sarmin dan Penolong Pengurus syarikat makanan,Adabi Melaka, Salehhudin Johan.

Menurut Muhammad Mohsien, dalam kursus itu peserta diberi tunjuk ajar secara praktikal mengenai asas pembuatan roti canai oleh wakil syarikat Amir Bread Man Enterprise, Amir Hamzah Omar.

“Peserta diajar dari asas iaitu sukatan membancuh, menguli, membuat bola, menebar dan memasak roti canai. Mereka juga diberi pendedahan mengenai kos untuk setiap bancuhan.

“Selain itu, peserta diajar membuat kuih dal menggunakan bahan masakan tajaan Adabi. Kita turut mengadakan pertandingan roti canai terbaik bagi membangkitkan semangat peserta,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta wanita, Mardhiah Nasir, 32, berkata, dia bercadang memulakan perniagaan roti canai sendiri selepas ini.

“Saya menyertai kursus ini kerana ia percuma dan kemahiran ini boleh dipelajari dengan mudah. Paling saya teruja ialah dapat mempelajari cara untuk menebar roti canai,” katanya.

Bagi peserta dari SMK Seri Mahkota, Tee Yang Kiat, 19, dia menyertai kursus itu bagi menambah kemahiran baharu.

“Saya amat seronok kerana tak pernah buat roti canai sendiri sebelum ini. Mungkin selepas ini saya boleh jual roti canai di rumah,” katanya.

 

oleh SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR

CATEGORIES