“Walaupun kami daif, anak perlukan saya”

“Walaupun kami daif, anak perlukan saya”

Tersentuh dengan pengorbanan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga anaknya...

BUKIT RAMBAI 15 Mei – Ramadan kali ini memberi sejuta sinar buat seorang warga emas yang hidup dalam keadaan serba daif bersama anak orang kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Batu 8, Bukit Rambai di sini.

Keperitan hidup Fatimah Abu, 77 tahun, yang kini berjalan bongkok dan terpaksa menguruskan anak perempuan OKU , Norafizah Kadiroon, 33 tahun, mendapat perhatian orang ramai dengan pelbagai sumbangan disalurkan kepada mereka baru-baru ini.

Bantuan yang diberikan termasuklah pembaikan dan pembersihan rumah, pakaian, makanan dan sokongan kewangan.

Menurut warga emas itu, kedukaan kehidupan mereka bermula selepas kematian suaminya kira-kira empat tahun lalu kerana sakit tua dan faktor usianya yang kini mencecah 80 tahun membuatkannya tidak lagi terdaya menguruskan Norafizah dengan baik.

“Anak saya Fizah, tidak boleh duduk, apatah lagi berjalan dan saya terpaksa mengheretnya ke tandas untuk memandikannya.

“Walaupun kehidupan kami serba daif, namun saya tetap meneruskan kehidupan kerana anak memerlukan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, anaknya itu mengalami kecacatan sejak dilahirkan dan tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di hospital.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, ada beberapa pihak cuba membantunya menghantar anak kesayangannya itu ke rumah kebajikan ekoran keadaannya yang semakin uzur, namun cadangan itu ditolaknya kerana tidak sanggup berjauhan dengan anaknya.

“Ibu mana yang sanggup berpisah dengan anak yang dijaganya sejak kecil, walaupun dia OKU, saya nekad untuk menjaganya sehingga hujung nyawa,” katanya memberitahu kehidupan dua beranak itu sebelum ini bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Melaka serta ihsan jiran tetangga.

Dalam pada itu, turut sama menghulurkan bantuan kepada keluarga daif itu ialah pihak pengurusan hotel bertaraf lima bintang, Casa Del Rio.

Pengurusnya, Micheal Quey berkata, sempena bulan Ramadan pihaknya giat mengesan beberapa keluarga asnaf untuk diberikan bantuan dan mendapati keluarga Fatimah dan Norafizah adalah yang paling memerlukan.

“Kehidupan dua beranak ini sangat mendukacitakan dan pihak kami berbesar hati untuk membantu mereka termasuk memberikan barangan keperluan harian dan bergotong-royong membersihkan serta melengkapkan kediaman mereka, selain sedikit bantuan kewangan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS