Wakaf tanah untuk manfaat rakyat

Wakaf tanah untuk manfaat rakyat

Rebutlah saham akhirat

JASIN 22 Nov. – Kerajaan Melaka mengalu-alukan mana-mana pihak mewakafkan tanah mereka untuk dimanfaatkan kepada rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jika pihak tersebut berkemampuan, mereka boleh mewakafkan tanah berkenaan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi MAIM telah menubuhkan jawatankuasa pembangunan tanah-tanah wakaf bagi tujuan menguruskan tanah yang diwakafkan.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab melihat balik semua harta wakaf dan mencari solusi supaya ia dimanfaatkan dengan perkara berfaedah.

“Sama ada untuk tujuan kebajikan, pendidikan atau ekonomi, ia terpulang asalkan membawa pulangan baik kepada umat Islam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Kampung Rim di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob.

SRA JAIM Kampung Rim merupakan salah satu bangunan pendidikan yang dibina di atas tanah wakaf di negeri ini.

Ia merupakan hasil wakaf isteri mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Abu Zahar Isnin, Datin Seri Khalijah Mohd Jiddi kepada MAIM bagi tujuan tapak baru SRA JAIM Kampung Rim pada tahun 2015.

CATEGORIES
TAGS