Wakaf kini di ‘hujung jari’

Wakaf kini di ‘hujung jari’

Sesiapa nak wakaf lepas ni, imbas Kod QR jer. Ada apps e-wallet Boost pulak tu. Siapa kata nak beramal tu susah?

BUKIT PALAH 2 Mei – Berwakaf kini lebih mudah, hanya di hujung jari.

Begitulah inisiatif dilaksanakan Majlis Agama Islam, RHB Islamik Bank Berhad dan Axiata Digital Services apabila melancarkan platform digital pertama di Malaysia iaitu syuQR.

Pengarah Urusan RHB Islamik, Datuk Adissadikin Ali berkata, ia menggunakan aplikasi e-wallet Boost dikendalikan Axiata Digital Services untuk memudahkan umat Islam membuat wakaf tunai.

Menurutnya, selain memudahkan, cekap dan selamat digunakan , ia menjadi saluran baharu bagi sesiapa sahaja menyumbang atau bersedekah sumbangan menggunakan telefon pintar.

“Hanya imbas Kod QR yang dipaparkan di masjid-masjid, risalah atau mana-mana lokasi yang mempunyai Kod QR tersebut dan wang sumbangan terus dipindahkan ke akaun dana MAIM tanpa risiko kecurian atau kehilangan.

“Dengan kemudahan yang ditawarkan, saya berharap dapat menghubungkan lebih daripada 200 masjid berdaftar di Melaka bagi memudahkan orang ramai menyumbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran wakaf tunai Melaka dan kempen syuQR menerusi aplikasi e-wallet Boost di Auditorium Masjis Al-Azim di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan Setiausaha MAIM, Azman Aziz.

Sementara Mohd Sofi berkata, pihaknya berharap pendekatan tersebut dapat memudahkan orang ramai bersedekah.

“Bukan hanya di Malaysia tetapi ia boleh digunakan di seluruh dunia.

“Hanya muat turun dan kita sudah boleh menyumbang walau berapa pun jumlahnya,” katanya.

CATEGORIES
TAGS