Van kilang terbalik, 1 maut, 3 cedera

Van kilang terbalik, 1 maut, 3 cedera

Berhati-hati di jalan raya, jangan biarkan keluarga menanti dalam tangisan

ALOR GAJAH 1 Okt. – Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah van kilang membawa penumpang terbabas dan terbalik di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin(AMJ), Melekek di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, mangsa yang maut, V. Saravanan, 38, dipercayai pekerja kilang selepas van terbabit merempuh lampu jalan, pembahagi jalan dan pokok berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning, Simpang Ampat di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pemandu van kilang yang berusia 30 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami luka di muka.

Katanya, dua penumpang di bahagian belakang van terbabit yang berusia 22 dan 27 tahun, dirawat di zon kuning Hospital Alor Gajah.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila van yang datang dari arah Tampin menghala ke Bandaraya Melaka hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan, lampu jalan dan pokok.

“Pelanggaran mengakibatkan van kilang terbalik di lorong sebelah kanan menyebabkan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

“Van terbabit ditahan bagi dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak polis sedang mencari saksi bebas di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES