Unit URB cegah jenayah, hubungkan polis dan masyarakat

Unit URB cegah jenayah, hubungkan polis dan masyarakat

Terima kasih PDRM

MELAKA, 12 Julai – Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang ditubuhkan pada 2014 bukan hanya menjalankan tugas kepolisan sebaliknya mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu menghubungkan polis dan masyarakat.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti kontinjen Melaka, ACP Beh Eng Lai berkata URB bertindak sebagai ‘first responder’ yang berhubung terus dengan masyarakat.

“Dalam menjalankan tugas utama dalam pencegahan jenayah, URB memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pemerhatian kepada keselamatan harta benda dan nyawa orang awam menerusi konsep kehadiran polis, kaedah ‘Stop and Talk’ dan ‘Meet and Greet’,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya menerusi kaedah tersebut, polis dapat menjalin hubungan baik dan lebih dekat serta mesra dengan masyarakat dalam usaha bersama mencegah jenayah.

“Setakat ini maklum balas orang ramai sangat memuaskan, malah mereka menyatakan perasaan lebih yakin tentang tahap keselamatan dengan kehadiran URB membuat rondaan di kawasan mereka,” katanya.

Beh berkata selain itu, URB juga menjalinkan kerjasama serta mendapatkan maklum balas daripada Rukan Tertangga, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Beliau berkata unit yang beroperasi selama 24 setiap hari itu bertindak memberi bantuan awal dan tiba di lokasi kejadian dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

“Dengan kehadiran URB di kawasan perumahan dan penempatan, orang ramai akan rasa lebih selamat dan ianya dapat mencegah daripada berlaku kes jenayah khususnya di kawasan ‘hot spot’,” katanya sambil menambah antara kawasan yang menjadi tumpuan unit itu ialah Kota Laksamana, Taman Perindustrian Kelemak, Taman Mewah dan Merlimau.

Beh berkata bagi memastikan anggota URB dapat menjalankan tugas dengan efisien, mereka dilengkapi dengan beberapa kelengkapan seperti siren, kamera badan dan pembesar suara.

“Anggota URB dibekalkan dengan kemahiran seperti asas menunggang motosikal berkuasa tinggi, pengetahuan undang-undang dan kursus mempertahankan diri selain mempunyai kemahiran mengendalikan senjata api, T-baton, Taser Gun serta ilmu asas bantuan pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR),” katanya sambil menambah URB Melaka mempunyai 52 anggota. – BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES