Umpun-umpun, umpan memancing ikonik di Melaka

Umpun-umpun, umpan memancing ikonik di Melaka

JIKA melalui kawasan pesisir pantai Pengkalan Balak hinggalah ke Kuala Linggi, pastinya ramai yang akan menyedari kewujudan pondok-pondok kecil yang tertera papan tanda dengan tulisan umpun-umpun. Namun, tahukah anda apa itu umpun-umpun?

Umpun-umpun atau perumpun merupakan satu spesies yang tinggal di beting pasir, lumpur, atau paya bakau yang sering dijadikan pilihan kaki pancing sebagai umpan untuk memancing ikan.

Mengikut sejarah, kewujudan umpun-umpun sebagai umpan untuk memancing bukanlah sesuatu yang baharu. Umpan jenis ini sudah digunakan sejak era 80-an lagi oleh kaki pancing dan masih kekal hingga ke hari ini.

Di Melaka, umpun-umpun sememangnya menjadi antara umpan popular pilihan kaki pancing terutama bagi mereka yang ingin menduga nasib memancing di sekitar Pantai Pengkalan Balak, Tanjung Bidara, Pantai Puteri dan Kuala Linggi.

Atas faktor tahan lama dan diminati pelbagai spesies ikan, umpun-umpun menjadi antara umpan wajib bagi kaki pancing di sini.

 

4 JENIS UMPUN-UMPUN POPULAR DI MELAKA

 

1. UMPUN-UMPUN JANGKAU

Jangkau dianggap sebagai spesies umpun-umpun paling ‘rare’ di Malaysia kerana dikatakan ia hanya banyak dijual di Melaka sahaja. Tapi, pasti ramai yang akan geli memegang umpun jenis ini kerana rupanya yang seakan-akan ulat gonggok bersaiz besar.

Biasanya, umpun jangkau berwarna oren keemasan dan ada juga berwarna sedikit gelap. Ia biasanya dicari di kawasan beting-beting pasir ketika air surut. Antara kawasan popular bagi pencari jangkau di Melaka ialah di pesisir pantai belakang Akademi Laut Malaysia (ALAM)dan di sekitar kawasan Telok Gong.

Di sebalik rupanya, umpun jangkau menjadi antara umpan memancing nombor 1 di negeri ini. Ia diminati pelbagai spesies ikan gred A, termasuklah Jenahak, Tebal Pipi, Gerut-gerut, dan Mayong.

2. UMPUN-UMPUN PASIR

Umpun pasir dikatakan antara umpan ‘basic’ yang telah lama digunakan kaki pancing di Melaka. Sesuai dengan namanya, umpun pasir menjadikan kawasan pantai berpasir sebagai habitatnya.

Kebiasaannya umpun pasir dicari ketika air mulai pasang dan pencari umpan ini biasanya menangkapnya menggunakan tangan bagi mendapatkan umpun yang bersaiz lebih besar. Antara lokasi yang sering dijadikan pilihan si pencari umpun pasir ialah di sepanjang pesisir pantai Pengkalan Balak, Kuala Sungai Baru, Lereh dan Kampung Hailam.

Antara ikan yang gemar dengan umpun pasir ialah ikan Daun Baru, Bebolos, Gelama dan Sembilang.

3. UMPUN-UMPUN MERAH / BETING

Sekitar tahun 2000, umpun-umpun merah cukup popular di kalangan kaki pancing Melaka. Pada ketika itu, atas permintaan yang tinggi, umpun-umpun jenis ini sentiasa ‘laku keras’.

Namun, popularitinya mula merudum apabila ramai pemancing mula beralih kepada penggunaan umpan hidup seperti udang. Boleh dikatakan sudah tidak ramai pencari umpun merah yang ada, namun ia masih boleh dicari di pondok-pondok menjual umpun-umpun sekitar Pengkalan Balak.

Sama seperti Jangkau, umpun-umpun Merah juga tinggal di kawasan beting pasir dan ia menjadi umpan yang cukup ‘killer’ jika mahu memburu ikan Sembilang.

4. UMPUN-UMPUN RUAT / RUAT BAKAU

Umpun-umpun ruat tidaklah begitu banyak dijual di kawasan sekitar Melaka. Namun, jika anda melalui kawasan Kuala Linggi menuju ke sempadan Negeri Sembilan, anda akan dapat melihat pondok-pondok peniaga yang menjual umpun-umpun jenis ini.

Ruat berbentuk lebih kurang sama seperti Umpun-umpun Merah, namun saiznya lebih besar dan ia hanya dicari di kawasan paya bakau.

Umpun-umpun jenis ini diminati spesies ikan seperti Sembilang, Tanda, Gerut dan Tebal Pipi.

CATEGORIES
TAGS