UKT bakal kendali pemilihan MPKKB Machap Umboo

UKT bakal kendali pemilihan MPKKB Machap Umboo

Pemilihan ini boleh menjadi model kepada pemilihan MPKKB lain

AYER KEROH 6 Sept. – Unit Kerajaan Tempatan (UKT) di Jabatan Ketua Menteri Melaka bakal mengendalikan proses pemilihan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru (MPKKB) Machap Umboo sepertimana dirancang Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, UKT adalah agensi kerajaan negeri yang berperanan untuk memastikan proses pemilihan pada projek perintis itu dilaksanakan secara adil.

“Memang betul Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan terlibat dalam proses pemilihan MPKKB Machap Umboo.

“Namun untuk pemilihan tersebut, kita akan ambil dan gunakan data-data pemilih daripada SPR,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Ummah dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Melaka di Melaka International Trade Centre (MITC) di sini semalam.

Adly berkata, UKT akan mengkaji kaedah paling sesuai bagi melaksanakan sistem undian baharu pemilihan MPKKB di Machap Umboo.

Menurutnya, kerajaan negeri akan cuba memuktamadkan model pemilihan MPKKB berkenaan pada tahun ini.

Adly juga menzahirkan harapan agar proses pemilihan MPKKB Machap Umboo bakal menjadi contoh kepada proses pemilihan di MPKKB lain pada masa akan datang.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai mekanisme yang akan digunakan untuk pemilihan MPKKB Machap Umboo selepas SPR dilaporkan tidak akan terlibat dalam proses pemilihan berkenaan.

MelakaKini sebelum ini melaporkan bahawa SPR tidak dapat memberikan kerjasama seperti yang diharapkan kerajaan negeri untuk pemilihan tersebut kerana suruhanjaya itu hanya bertanggungjawab dalam mengendalikan pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

SPR yang ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan mempunyai tiga fungsi utama iaitu:

1) Membuat kajian dan persempadanan semula Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada lapan tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;

2) Menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan

3) Menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS