Categories: MELAKA

Tunai manifesto demi penuhi keperluan rakyat

MELAKA, 9 Mei – Setahun pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Pakatan Harapan (PH), hampir separuh daripada 86 tawaran manifesto ditawarkan PH Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 berjaya dilaksanakan.

Pemantauan Institut Tun Perak di sini mendapati daripada 86 tawaran itu sebanyak 41 tawaran selesai dilaksanakan, 34 dalam proses perlaksanaan dan 11 masih belum dilaksanakan.

Bagi Ketua Menteri, Adly Zahari sememangnya kejayaan memenuhi manifesto itu petunjuk pentadbiran kerajaan negeri berada pada landasan yang baik.

Namun, jelas beliau, petunjuk utama pentadbiran kerajaan negeri adalah bagaimana semua inisiatif dilaksanakan itu mampu menambah baik kehidupan rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau berpendapat penilaian kejayaan pentadbiran itu terletak di tangan rakyat negeri itu sendiri.

KEPERLUAN RAKYAT

Menurut Adly beliau tidak mahu kerajaan negeri dibentuk PH menjadi sebuah kerajaan negeri yang hanya mahu memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) manifesto semata-mata, tetapi kerajaan negeri yang peka dan memenuhi keperluan rakyat yang sebenar.

“Paling penting bagi saya apabila kita dah ‘deliver’ kepada rakyat, penilaiannya (terhadap prestasi pentadbiran) adalah daripada rakyat, itu sahaja. Kalau rakyat rasa hujah pembangkang kita tidak melaksana beberapa perkara, memang semua belum laksana tetapi majoriti (tawaran manifesto) telah dilaksana.

“Penilaian ini yang seharusnya kita berikan kepada rakyat. Pembangkang tidak akan timbulkan apa yang kita sudah capai, tetapi apa (tawaran) yang belum kita capai.

“Paling penting dalam tempoh lima tahun itu PH saya yakin akan ‘deliver’ apa patut kita lakukan. Sejak hari pertama (mentadbir) kita fokus semua untuk ‘deliver’, bukan sahaja dicapai tetapi gandakan pencapaian itu,” katanya dalam temubual dengan Bernama sempena setahun pentadbiran PH Melaka.

Adly berkata PH Melaka akan membentangkan pencapaian setahun kerajaan negeri di bawah pentadbirannya pada 10 Mei ini kepada rakyat bagi membolehkan mereka menilai sendiri prestasi pentadbiran itu.

INISIATIF RAKYAT

Dalam meneliti tawaran manifesto yang dicapai PH Melaka itu, banyak inisiatif yang membawa kesan serta faedah terus kepada rakyat antaranya pelaksanaan perkhidmatan bas percuma di kawasan pusat bandar yang memberi impak positif terutama kepada penduduk kumpulan B40.

Kerajaan negeri juga bertindak memansuhkan bayaran meletak kenderaan di seluruh negeri pada setiap Sabtu dan Ahad, dilihat agak merugikan jika dihitung hasil yang dikutip tetapi sebenarnya mampu membantu meringankan beban kewangan rakyat selain meningkatkan sektor pelancongan Melaka.

“Kalau kita lihat banyak penambahbaikan kita kena lakukan. Daripada segi pencapaian janji kita sebenarnya kita sudah mampu penuhi apa yang patut kita lakukan kepada rakyat tetapi dalam masa sama banyak lagi kita perlu tambah baik.

“Dalam usaha ini kita pastikan bukan sahaja kita dapat penuhi manifesto tetapi untuk menambah baik impak (manifesto itu) kepada rakyat,” kata Adly.

Selain inisiatif terus, inisiatif untuk mengubah corak mekanisma pentadbiran juga bakal memberi kesan kepada rakyat antaranya mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal yang usulnya diluluskan Dewan Undangan Negeri Melaka baru-baru ini.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Melaka (MELCAT) juga memastikan sistem pentadbiran negeri beroperasi pada tahap optimum bagi memenuhi keperluan rakyat dan memastikan keadaan ekonomi negeri berada di landasan betul dan tepat.

Selain itu kerajaan negeri juga membuka ruang kepada rakyat menukar status pajakan tanah kediaman milik orang Melayu kepada Tanah Adat Melaka (MCL) dengan bayaran nominal RM1,000. Langkah ini sekaligus meningkatkan jumlah MCL di negeri ini.

RUMAH UNTUK RAKYAT

Tiada inisiatif yang paling signifikan untuk rakyat dilakukan PH Melaka dalam tempoh hampir setahun ini selain daripada penyusunan, mewujudkan dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membolehkan rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri tanpa mengira pendapatan mereka.

Klasifikasi rumah ditentukan lebih sistematik iaitu harga RM42,000 bagi rumah kos rendah, rumah kos sederhana melebihi RM80,000, Rumah Harapan RM80,000 hingga RM100,000, Rumah Belia RM162,000 dan Rumah Mampu Milik dari RM100,000 hingga RM180,000 disasarkan golongan M40.

“Ini penting supaya semua rakyat dapat miliki rumah tanpa mengira tahap pendapatan mereka, RM180,000 (untuk harga sebuah rumah) rumah mampu milik adakah ini sesuai untuk rakyat B40 ? Jika tidak kita bantu dapatkan harga lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, Adly menegaskan dalam menyediakan rumah untuk rakyat, apa yang penting bukan bilangan rumah yang dibina untuk rakyat, sebaliknya berapa ramai rakyat yang mampu memiliki rumah sendiri.

Mengambil contoh, inisiatif Rumah Berkat bagi memenuhi keperluan pasangan muda baru berkahwin 20 hingga 35 tahun daripada kelompok B40 untuk menyewa kediaman berkenaan pada kadar serendah RM150 sebulan selama tiga tahun disediakan mengikut keperluan.

Sebanyak 500 Rumah Berkat disasar untuk dibina dalam tempoh lima tahun pentadbiran PH Melaka, bagaimanapun menurut Adly rumah itu perlu dibina mengikut keperluan supaya tiada pembaziran justeru ia dimulakan dengan pembinaan 30 unit rumah.

Beliau berkata ketika dilancarkan awal tahun ini seramai 57 orang memberi maklum balas untuk menduduki rumah tersebut, namun daripada 27 pemohon yang diberi tawaran hanya lapan sahaja yang menduduki rumah itu.

“Cabaran kita apakah keperluan rakyat kepada Rumah Berkat ini? Adakah mereka mahu kita teruskan lebih banyak bilangan (dibina). Kalau 30 Rumah Berkat masih tidak penuh bagaimana kita mahu bangunkan lebih banyak lagi.

“Kita boleh penuhi tawaran kita (dalam manifesto) tetapi dalam masa sama kena nilai respon daripada rakyat, kita kena ambil kira apa sebenarnya yang mahu di minta rakyat. Ini bukan setakat Rumah Berkat sahaja, skim rumah lain juga begitu. Begitu juga dengan inisiatif lain dalam manifesto itu,” katanya.

Projek perumahan untuk nelayan bernilai RM7.6 juta di kawasan seluas 5.6 hektar di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dekat sini akan disiapkan menjelang hujung tahun ini, dengan 60 nelayan pantai bakal mendapat manfaat dengan harga serendah RM45,000 seunit.

Melalui Skim Rumah Belia Melaka bermula Mac lepas, 104 unit rumah berharga RM180,000 dibuka untuk permohonan fasa pertama di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini yang mana belia layak dan berjaya mendapat kelulusan menikmati subsidi pembelian rumah sebanyak 10 peratus daripada harga pasaran.

PEMBANGUNAN EKONOMI

Adly berkata dalam tempoh hampir setahun itu kerajaan negeri membina landasan yang tepat bagi membangunkan ekonomi terutama daripada sektor perindustrian, pelancongan dan pelabuhan untuk tempoh empat tahun lagi.

“Tempoh akan datang kita mesti menggandakan lagi pencapaian itu yang dapat memberi kesan kepada ekonomi. Kita akan fokus dengan beberapa perancangan.

“Kita tahu kita ada peluang pelaburan untuk diketengahkan tetapi daripada segi pencapaian, kita mahu pelaburan kita meningkat dari tahun ke tahun seperti tahun lalu RM3.2 bilion. Tahun ini sasar RM5 bilion sudah pasti tahun depan kita cari kadar lebih tinggi,” katanya.

Ditanya secara peribadi adakah beliau berpuas hati dengan pencapaian PH Melaka mentadbir Kerajaan Negeri Melaka setakat ini, beliau sekali lagi menyerahkannya kepada rakyat untuk menilainya.

“Kita akan bentang kepada rakyat untuk dinilai pada 10 Mei ini, kita mahu rakyat gembira dan puas hati tetapi dalam masa sama kita nak pergi lebih jauh daripada itu, bukan hanya capai manifesto atau capai keperluan rakyat sahaja tetapi lebih daripada itu,” katanya.

KAJIAN KEPERLUAN

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak, Zaipul Anwar Zainu berkata institut itu pada bulan lepas membuat kajian terhadap keperluan rakyat melibatkan 772 orang responden yang terdiri daripada 57.8 peratus belia, dewasa (36.6 peratus), senior (3.3 peratus) dan remaja (2.3 peratus).

Beliau berkata dapatan daripada kajian itu mendapati rakyat negeri ini prihatin terhadap lima isu utama iaitu ekonomi sebanyak 43.6 peratus, politik (20.3 peratus), sosial (18.6 peratus), pendidikan (9.3 peratus) dan perumahan (8.1 peratus).

“Analisis kualitatif terhadap isu menjadi keprihatinan ini mendapati dalam ekonomi, isu yang menjadi keperluan utama rakyat ialah menurunkan kos sara hidup yang tinggi, rumah mampu milik dengan kos lebih rendah, peluang pekerjaan, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan kenaikan gaji atau pendapatan,” katanya.

“Hasil kajian juga mendapati Kerajaan Negeri Melaka dapat menjalankan (sedang melaksanakan) dan memenuhi lebih 80 peratus janji yang disenaraikan dalam Manifesto PH Melaka untuk tempoh hampir setahun pentadbirannya,” katanya.

Kajian itu juga mendapati isu yang menjadi keprihatinan dan keperluan rakyat itu terkandung serta ‘correspond’ terhadap dasar utama manifesto PH Melaka terutama daripada segi ekonomi, perumahan dan pendidikan.

Bagaimanapun Zaipul Anwar berkata ramai daripada responden kajian itu mengkritik dengan mengatakan janji manifesto itu tidak ditepati yang mana itu berlaku mungkin kerana kelemahan memberitahu kepada rakyat tentang pencapaian tersebut.

“Dengan memenuhi manifesto ini secara tidak langsung keperluan rakyat juga terpenuhi seperti mana dapatan dari kajian ini,” katanya.- BERNAMA

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

12 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago