Tuah nama isteri, bawa pulang RM80,000

Tuah nama isteri, bawa pulang RM80,000

Ini namanya rezeki `terpijak'....

PANTAI PUTERI 7 Okt. – Seorang pemancing tidak menyangka dengan menggunakan nama isteri untuk sertai pertandingan memancing memberi tuah kepadanya apabila dinobatkan sebagai juara Surfcasting Challenge Pantai Puteri 2019, semalam.

Mohd Aizat Dolmi, 34, berkata, dia sering menggunakan nama isterinya, Noraliza Talib dalam kebanyakan pertandingan memancing yang disertainya namun kemenangan yang diraih kali ini lebih istimewa apabila dapat membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000 selaku juara.

Selain tuah menggunakan nama isteri, kemenangan itu juga datangnya daripada rezeki anak keduanya, Dhiya Qaisara yang baru dilahirkan pada 13 September lalu.

“Alhamdulillah, rezeki Allah SWT. Rezeki yang tidak terduga. Ini tuah menggunakan nama isteri sejak dahulu lagi.

“Terima kasih buat isteri yang setia mendoakan kejayaan suaminya walaupun masih dalam pantang. Ini (kemenangan) merupakan hadiah istimewa untuk ulangtahun perkahwinan ke-8 kami.

“Kemenangan ini juga rezeki buat anak-anak saya, Dhiya Qalisya, setahun tujuh bulan dan Dhiya Qaisara yang baru berusia 23 hari serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Mohd Aizat dinobatkan sebagai juara selepas menaikkan ikan Senangin seberat 0.9 kilogram (kg), sekali gus menewaskan lebih 2,000 pemancing lain yang menyertai pertandingan ini yang merupakan edisi ketiga anjuran Wak Jali Event Manegement dengan kerjasama Mee Fah Fishing, Japerun Pantai Kundur dan tajaan daripada Shimano.

Tempat kedua menjadi milik pemancing dari Kelantan, Mohd Muhaimin Salleh yang menaikkan tangkapan ikan Daun Baru seberat 0.75 kg manakala tempat ketiga diraih Jaffri Cheari yang juga menaikkan ikan Daun Baru seberat 0.70 kg.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan RM5,000.

Bercakap mengenai kejayaannya menaikkan ikan Senangin berkenaan, Mohd Aizat tidak menyangka umpan udang hidup yang baru sahaja dilontarkan pada jam 10 pagi akan terus disambar spesies pemangsa itu.

“Saya baru lontar umpan dan hendak meletakkan joran, tiba-tiba sahaja saya merasakan sentapan kuat dari penghuni dasar.

“Mula-mula memang berdebar juga kerana risau jika ikan tersebut terlepas, namun, Alhamdulillah selepas lima minit, ikan ini berjaya dinaikkan dan menjadi ikan terberat dalam pertandingan ini,” ujarnya.

Beliau yang merupakan anak jati Kampung Paya Luboh berkata, ini bukanlah kali pertama bergelar juara pertandingan memancing di Pantai Puteri sebaliknya ia merupakan kemenangan bersejarah kali kedua buatnya secara peribadi.

“Dalam tahun 2012 saya pernah muncul juara di pantai ini dan membawa pulang hadiah RM30,000. Tak sangka sejarah itu berulang lagi kali ini dan mendapat hadiah yang lebih besar.

“Pantai ini banyak memberi rezeki buat saya dan keluarga. InsyaAllah, kemenangan ini akan membuat saya lebih bersemangat untuk meneruskan hobi ini dan akan menyertai lebih banyak pertandingan pada masa akan datang,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES