Tradisi ‘ketuk-ketuk sahur’ ikat anak perantau

Tradisi ‘ketuk-ketuk sahur’ ikat anak perantau

Tradisi yang kian pudar. Mari kita sama-sama bangkitkan kembali tradisi ni...

BUKIT PIATU 15 Mei- Tanpa laungan ‘sahur, sahur, sahur,’ diiringi bunyian gendang dan tiupan serunai sepanjang Ramadan, ibarat tidak lengkap bagi kira-kira 2,500 penduduk di Kampung Bukit Piatu.

Aktiviti dikenali sebagai ‘ketuk-ketuk sahur’ itu telah diamalkan sejak lebih 75 tahun di kampung berkenaan dengan penglibatan semua penduduk kampung tanpa mengira peringkat umur.

Meskipun tidak diketahui secara tepat sejarah awal penubuhan aktiviti yang menggamatkan suasana sahur di kampung itu, namun ia merupakan satu aktiviti tradisi nenek moyang mereka yang ditunggu saban tahun dan menjadi amalan sehingga kini.

Ketua kumpulan pemuzik yang menggerakkan aktiviti itu, Abdul Fattah Abdul Munir, 28 tahun berkata, menariknya jika sebelum ini aktiviti tersebut dipelopori oleh kumpulan individu yang lebih berusia, namun kini senario itu berbeza apabila jumlah penglibatan penduduk semakin ramai, tanpa mengira peringkat umur.

Ujarnya, menariknya pada tahun ini pelbagai alatan muzik tradisional digunakan seperti serunai, gendang, gong dan kompang berbanding dengan zaman dahulu yang hanya menggunakan barangan terpakai seperti baldi, tin dan juga pelbagai jenis tong.

“Selain alunan lagu malar segar seperti Madu Tiga dan Ali Baba nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, kita juga mengalunkan lagu-lagu raya dan aktiviti tradisi ini bermula 1 Ramadan sehingga akhir Ramadan, melibatkan lebih daripada 30 orang terdiri daripada kanak-kanak, remaja, golongan dewasa dan juga warga emas.

“Kita mula ketuk-ketuk sahur ni dah lebih 75 tahun, sebelum ni kita guna alatan seperti tong besi ke untuk buat dia bunyi lepastu kita buat perubahan menggunakan kompang, jadi sekarang ni kita buat pembaharuan kita buat menggunakan Gendang Silat iaitu serunai, gendang anak, gendang ibu, gong, tambrin dan kompang,” katanya.

Dalam pada itu, aktiviti yang menjadi tradisi itu kekal menjadi memori terutamanya kepada anak-anak jati kampung berkenaan yang merantau mencari rezeki di negeri-negeri lain.

Bagi Muhammad Naim Sharif, 28 tahun yang telah lima tahun menetap di Pengerang, Johor berkata, dia dan isteri tidak akan melepaskan peluang pulang ke kampung halaman semata-mata untuk menyertai aktiviti berkenaan.

Katanya, jika sebelum ini dia akan pulang ke Melaka setiap sebulan atau dua bulan sekali, namun jika menjelang ramadan, dia akan pulang pada setiap minggu kerana suasana berkenaan dikira amat berharga dan tidak dapat dirasai di kawasan – kawasan lain.

“Sebelum ni saya tidak kerap balik kampung, tp bila menjelang Ramadan, kalau boleh tiap minggu nak balik kampong sebab di sini orang kejut sahur agak meriah, tu yg nak balik kampung tiap minggu.

“Kalau dulu masa saya kecil, kita main mercun bom nak kejut orang bangun sahur tapi sekarang kita gunakan alatan muzik tradisional dan muzik yang dimainkan lebih meriah dan seronok di dengar halwa telinga,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Piatu, Adnan Seman berkata, kumpulan itu bukan semata-mata bergerak untuk menggamatkan suasana selain membantu penduduk bangun bersahur malahan pada tahun ini, kumpulan itu juga bergerak menyampaikan sumbangan kepada 52 Asnaf di kampung berkenaan, secara berperingkat-peringkat.

“Tujuan kami buat ketuk-ketuk sahur di kampung ini menampilkan kelainan apabila tahun ini kita akan mengagihkan bantuan kepada golongan Asnaf di Kampung Bukit Piatu ini secara berperingkat, dan pagi sahur ini kita akan beri kepada tiga rumah,” katanya.

CATEGORIES
TAGS