Titisan air mata iringi pemergian anak

Titisan air mata iringi pemergian anak

Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Amirul...

ALOR GAJAH 16 Okt. – “Rasa terharu berbaur sebak, bersyukur pun ada apabila dapat mewakilkan arwah anak menggenggam segulung diploma pada hari ini,” luah Siti Maimunah Sairi, 54, ibu kepada seorang graduan, Allahyarham Muhammad Amirul Abd Rahman, 21.

Muhammad Amirul yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya Julai lalu merupakan graduan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah.

Maimunah apabila ditemui pemberita menzahirkan rasa sebak dan bangganya disebabkan anaknya berjaya menghabiskan pengajiannya di universiti itu dan menerima sijil pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-91.

Menurut Maimunah, rasa sebak itu tidak mampu ditahannya sehinggakan menitiskan air mata sewaktu mewakili anaknya untuk naik ke pentas bagi menerima skrol diploma pada majlis tersebut.

Katanya, walaupun sedih dengan kehilangan puteranya itu, beliau masih menggagahkan diri untuk menghadiri istiadat berkenaan bagi merealiasasikan impiannya anaknya.

“Allahyarham tidak sempat mengambil sendiri segulung diploma daripada universiti ini apabila terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari tempat kerjanya di Kulai pada 20 Julai lalu.

“Tak tahu nak cakap apa, sedih pun ada, syukur pun ada, cuma sebelum ni arwah sangat teruja untuk menghadiri istiadat konvokesyen ini sebagai kejayaannya menelaah ilmu di universiti ini.

“Namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya, biarpun perit dengan ketetapan ini namun saya tetap berbangga dengan pencapaian arwah bagi menggenggam segulung diploma dari UiTM,” katanya.

Istiadat Konvokesyen UiTM kali Ke-91 yang berlangsung di Dewan Taming Sari semalam menyaksikan seramai 479 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing.

Seramai 2,360 graduan akan menerima diploma dan ijazah pada istiadat yang terbahagi kepada lima sidang bermula hari ini sehingga 17 Oktober ini.

CATEGORIES