Tingkat pengetahuan mengenai sistem demokrasi, pilihanraya

Tingkat pengetahuan mengenai sistem demokrasi, pilihanraya

Satu program pendidikan mengenai sistem pilihan raya perlu diadakan kepada pelajar sekolah

DUYONG 7 Nov. – Program Amalan Demokrasi Berparlimen Kelab Malaysiaku Daerah Melaka Tengah menjadi medium menyampaikan ilmu pengetahuan khususnya berkaitan sistem demokrasi dan pilihanraya.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar berkata, sejak dahulu lagi Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Bagaimanapun katanya, tidak semua memahami sistem berkenaan sehingga perpaduan sukar dibentuk sebaiknya.

“Usaha Jabatan Penerangan (JAPEN) Melaka menganjurkan program ini untuk melahirkan generasi baru yang memahami konsep cintakan tanah air sangat bermanfaat kepada kita.

“Ini kerana kita sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dalam mengukuhkan perpaduan dalam segenap lapisan masyarakat dan umur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program itu di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong di sini, semalam.

Omar tidak menafikan ada pihak kurang minat mengenal dasar-dasar negara dan konsep demokrasi ini.

“Secara amnya di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT), modul pembelajaran berkonsepkan demokrasi dan pilihanraya patut diketengahkan pada masa akan datang. Ini sebagai persediaan dan pendedahan kepada generasi baharu.

“Oleh itu bukan sahaja JAPEN, sebaliknya agensi lain juga harus bertanggungjawab dalam usaha membentuk generasi berwibawa dan seimbang dalam semua aspek,” katanya.

CATEGORIES