Tingkat pemahaman ICT

Tingkat pemahaman ICT

ICT kini menjadi keperluan kepada manusia

AYER KEROH 7 Okt. – Masyarakat harus diberikan pendedahan mengenai perkembangan teknologi ICT selaras Pelan Strategik ICT Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pelan ICT Negeri Melaka ‘Menjelang Melaka Bandar Pintar 2030’.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, pengetahuan dan pemahaman terhadap bidang itu sangat penting rentetan keperluan digital menjadi salah satu keutamaan terkini.

Menurutnya, terdapat lebih dua bilion pengguna internet seluruh dunia dengan kadar penembusan global lebih daripada 30 peratus.

“Indeks ini akan meningkat dari semasa ke semasa menerusi penggunaan empat teknologi atau konsep digital baru iaitu peranti mudah alih, media sosial, ‘cloud’ dan berasaskan maya.

“Justeri, Karnival ICT dianjurkan ini diharap boleh memberi impak kepada pelaksanaan budaya kerja lebih cemerlang menerusi penggunaaan IT lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival ICT MBMB di Dataran MBMB di sini, Sabtu lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin.

Tambah Kok Kiew, usaha tersebut memperlihatkan kesungguhan MBMB menyampaikan kepentingan ICT kepada masyarakat di negeri ini.

“Program berlangsung selama tiga hari ini turut menyampaikan perkhidmatan Digital MBMB semakin meluas dan berkesan.

“Secara tidak langsung ia memberi impak kepada pelaksanaan Digital MBMB kepada warga kerjanya dan orang ramai,” katanya.

Pelbagai aktiviti disusun sepanjang program itu termasuk pertandingan e-games dan gajet, seminar teknologi Telekom Malaysia (TM) dan pertandingan V-Log 2019.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS