Tingkat kesedaran hargai kanak-kanak

Tingkat kesedaran hargai kanak-kanak

Kanak-kanak pewaris masa depan negara

DURIAN TUNGGAL 8 Nov. – Hari Kanak-Kanak Sedunia diraikan sebagai tanda pengiktirafan dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan berkenaan.

Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datin Mahani Othman Basir berkata, sambutan itu merupakan satu hari bagi persaudaraan dan persefahaman dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, masyarakat harus sentiasa menunjukkan penghargaan dan kasih sayang kepada mereka tanpa mengira masa.

“Menerusi Karnival Hari Kanak-Kanak diadakan hari ini, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran semua supaya menghormati golongan tersebut sebaiknya.

“Kita bertanggungjawab menentukan kebajikan, kesejahteraan dan hak mereka agar sentiasa dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal di sini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman.

Ujar Mahani, inisatif dilaksanakan sekali gus mengeratkan hubungan antara pendidik, kanak-kanak, murid, ibu bapa dan masyarakat luar.

“Ini satu langkah positif ke arah kesejahteraan dan keharmonian institusi kekeluargaan.

“Ia juga kesempatan terbaik bagi anak-anak kita bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti,” katanya.

Program turut melibatkan lebih 800 peserta terdiri daripada ibu bapa, agensi dan jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

Antara aktiviti diadakan seperti ceramah, pameran kesihatan, demontrasi keselamatan jalan raya, permainan ‘Soopa Doopa’, ‘flying fox’, pertandingan pakaian beragam, kereta buggy, bintang kecil, gerai masakan serta jualan dan cabutan bertuah.

CATEGORIES