Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Melaka 2019 : Mohd Khairi & Siti Syahirah muncul juara

Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Melaka 2019 : Mohd Khairi & Siti Syahirah muncul juara

BUKIT PALAH 18 Feb. – Peserta yang mewakili Daerah Melaka Tengah mengungguli tempat pertama Kategori Qari dan Qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Melaka 1440H/2019M yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, Sabtu lalu.

Pelajar Tahun 2 jurusan al-Quran dan Komunikasi di Institut pengajian Tinggi (IPT), Mohd Khairi Maidin yang perolehi markah tertinggi 83 peratus berjaya menewaskan Husni Ali Hasan (82 peratus) dan Mohd Fairuz Husin (76 peratus).

Manakala Doktor Pergigian, Dr. Siti Syahirah Isa menewaskan Jamilah Tahir (70 peratus) dan Asinah Abd. Rahman (65 peratus).

Selaku juara, Mohd Khairi dan Siti Syahirah, masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, sijil serta hadiah iringan.

Hadiah telah disampaikan oleh Yang Mohd Khalil Yaakob dan turut dihadiri Ketua Menteri, Adly Zahari; isteri Adly, Dalilah Awaludin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Mohd Khairi, 20, ketika ditemui media memberitahu, beliau menghabiskan masa 30 minit sehari untuk membuat latihan suara dan lagu setiap kali selesai menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

“Saya mula minat bertaranum ketika darjah dua dan dengan dorongan keluarga, saya terus memperbaiki mutu bacaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagi Siti Syahirah pula, minat mendalam membaca al-Quran mendorongnya untuk terus memperbaiki mutu bacaan walaupun berlainan bidang.

“Budaya membaca al-Quran yang saya amalkan sejak sekolah rendah menyebabkan saya sentiasa mempelajari dan berlatih apabila ada masa lapang terutama ketika cuti hujung minggu, ” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS