Tiga stesen di Melaka catat IPU normal

Tiga stesen di Melaka catat IPU normal

Harap orang ramai mematuhi nasihat JAS

 

AYER KEROH 12 Sept. – Tiga stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap normal sehingga jam 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Osman berkata, ketiga-tiga stesen itu melibatkan stesen Alor Gajah (89), Bukit Rambai (91) dan Bandaraya Melaka (90).

Beliau berkata, orang ramai bagaimanapun dinasihati lebih sensitif dan peka terhadap bacaan IPU jerebu di negeri ini.

“Pagi tadi IPU berada pada tahap tidak sihat hingga bacaan melebihi 100.

“Justeru, sebagai rakyat kita kena bersedia dengan fenomena jerebu ini selain memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin,” katanya kepada MelakaKini.

Rosli meminta supaya orang ramai mengurangkan aktiviti di luar dan memperbanyakkan minum air untuk menjaga kesihatan.

“Memandangkan cuaca panas dan kering, semua pihak dinasihati tidak sesekali membuat pembakaran secara terbuka yang boleh mengundang faktor jerebu.

“Saya minta kerjasama semua jangan lakukan pembakaran terbuka atau membuat pesta asap. Jika ada yang berdegil, boleh laporkan kepada JAS atau jabatan berkaitan,” katanya.

Ujarnya, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 boleh dikenakan terhadap setiap kesalahan dilakukan,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS