Tiada perbincangan lantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka

Betul tu YB, masih awal nak bincang pasal kedudukan TYT

AYER KEROH 14 Jun – Ketua Menteri, Adly Zahari menegaskan sehingga kini masih tiada perbincangan dibuat mengenai pelantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu.

Setakat ini tegasnya, tidak pernah ada perbincangan sama ada jawatan tersebut bakal disandang oleh anak Melaka yang lain atau cadangan melanjutkan tempoh jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob yang sepatutnya berakhir tahun depan.

“Masih tiada keperluan untuk membincangkan mengenai perkara itu buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas program Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Adly berkata, pihaknya menerima pelbagai pandangan berhubung jawatan berkenaan termasuk cadangan melantik anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin Ghafar menggantikan Tun Dr. Mohd. Khalil.

“Kita di peringkat negeri belum membincangkan lagi pandangan tersebut kerana buat masa ini belum ada keperluan untuk kita membincangkannya,” katanya.

Tambah Adly, kriteria individu yang akan memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu akan dilihat semula.

“Kita rujuk apa faktor dan bagaimana seseorang itu dilantik memegang jawatan berkenaan sebelum ini selain melihat apakah keperluan negeri dalam pelantikan itu.

“Berhubung kriteria anak Melaka sendiri, saya belum ada kepastian syarat-syarat itu dimasukkan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS