Tiada penyelesaian 100% bagi masalah banjir – Pakar

Tiada penyelesaian 100% bagi masalah banjir – Pakar

Tahap kesedaran dari segi 'alert' di kalangan masyarakat tu perlu ada...

AYER KEROH, 9 Ogos – Banjir yang melanda beberapa kawasan tertentu di Melaka saban tahun bukanlah satu masalah yang boleh diselesaikan dengan sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka Abd Hakim Hamzah berkata masyarakat seharusnya menerima hakikat bahawa masalah tersebut hanya boleh dikurangkan melalui tindakan-tindakan tertentu yang dilakukan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang menyediakan peruntukan yang sangat besar berbanding Malaysia dalam menangani isu banjir juga tidak mampu menghapuskan masalah itu sepenuhnya.

“Bahkan jiran negara kita, Singapura masih juga berhadapan dengan masalah banjir,” katanya dalam sessi MKTalk yang disiar secara langsung di laman Facebook MelakaKini semalam.

Turut menjadi panel dalam perbincangan bertajuk ‘Banjir: Bila Akan Selesai?’ ialah Naib Presiden ENSEARCH (Environmental Management and Research Association of Malaysia) Datuk Ir. Othman Abdul Rahim

Penolong Pengarang MelakaKini Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria selaku moderator.

Abd Hakim berkata masyarakat turut mempunyai tanggungjawab besar dalam membantu pihak kerajaan mengurangkan risiko berlakunya banjir di negeri ini dengan menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan tidak membuang sampah merata-rata.

Beliau berkata orang ramai tidak wajar hanya menuding jari kepada pihak kerajaan bila banjir terjadi kerana tindakan mereka yang membuang sampah merata-rata juga adalah faktor penyumbang kepada berlakunya kejadian tersebut.

Sementara itu Othman turut sependapat bahawa adalah mustahil untuk mengatasi sepenuhnya masalah banjir di negeri ini.

Beliau berkata apa yang penting adalah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan secara berterusan dalam memastikan kejadian tersebut tidak sentiasa berulang.

“Kadang-kadang banjir juga merupakan satu tanda daripada Tuhan untuk manusia menggunakan akal yang dimiliki dan ilmu yang dianugerahkan olehNYA untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES