Teliti teknologi baharu hasilkan sayur – Adly

Teliti teknologi baharu hasilkan sayur – Adly

Melaka mampu menjadi seperti negara Belanda yang kecil tetapi produktif dalam penghasilan tanaman

BANDA HILIR 9 Julai – Kerajaan negeri akan meneliti teknologi baharu yang mampu menghasilkan lebih banyak pengeluaran sayuran tempatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, inisiatif itu bagi membolehkan Melaka menghasilkan sayuran yang sihat kepada rakyat negeri ini.

Jelas beliau, dengan saiz negeri yang kecil, Melaka bergantung kepada teknologi bagi menghasilkan lebih banyak produktiviti.

“Antara cabaran kita adalah bagaimana kita boleh meningkatkan lagi teknologi dalam menghasilkan sayur di peringkat negeri dan negara.

“Industri ini akan berkembang dari semasa ke semasa kerana kita tahu antara aspek yang penting yang sudah ada penilaian dalam kalangan rakyat adalah tentang penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Southeast Asian Vegetable 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee.

Jelas Adly, secara purata hanya 1.6 peratus kawasan pertanian digunakan bagi tujuan penanaman sayur-sayuran.

“Ini termasuklah mengimport sayur-sayuran dari negara seperti China, Holland, Thailand dan sebagainya,” katanya.

Beliau tidak menafikan penggunaan teknologi memerlukan kos tertentu.

“Kita harap kos teknologi digunakan rendah manakala produktiviti sayuran tinggi,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS