TEKUN Nasional sasar agih RM330 juta pada 2020

TEKUN Nasional sasar agih RM330 juta pada 2020

Terus menyokong industri keusahawanan negara

KUALA LUMPUR, 3 Dis. – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) merancang untuk mengagihkan pembiayaan sebanyak RM330 juta kepada 22,000 usahawan pada tahun depan.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata sehingga Oktober lepas, tabung itu telah mengagihkan sebanyak RM346 juta kepada 17,253 usahawan di seluruh negara.

Dalam ucapan pada sambutan ke-20 TEKUN Nasional di sini, katanya pelbagai produk baharu akan dilancar untuk menyokong industri keusahawanan negara.

Beliau berkata TEKUN Nasional menandatangani perjanjian dengan Yayasan KRU untuk memperkukuh industri kreatif negara hari ini.

Katanya TEKUN Nasional turut bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ‘TEKUN Mart’ dan ‘TEKUN Delivery’ ke seluruh negara.

Mohamad Suparadi berkata pada tahun ini, TEKUN Nasional diperuntukkan sebanyak RM100 juta sahaja dan berharap kerajaan dapat menambah peruntukan bagi agensi itu di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

Katanya secara keseluruhannya, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 438,178 usahawan dengan jumlah sebanyak RM5.67 bilion.

Antara pembiayaan di bawah TEKUN Nasional ialah Skim Pembiayaan TEKUN Niaga, Skim Pembangunan Usahawan Profesional Muda Bumiputera, Program Agropreneur Muda, Skim Pembiayaan Temannita dan Skim Pembiayaan Kontrak-i.

Pada majlis itu, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusof menyampaikan anugerah kepada 16 usahawan yang berjaya dari seluruh negara.

Antara pemenangnya ialah Zulkifli Abdullah (Mega Khat Marketing – Pahang) membekalkan produk ukiran kayu dan cenderamata, R Packiyanathan Raju (Pagkia Barber Shop – Pahang) menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan perniagaan francais Gelato & Leka Leka serta Mex Well Aido Adnan (Maika Group Family Sdn Bhd – Sabah) mengusahakan perniagaan makanan dan minuman jenama Kiaburi Chicken Rice.- BERNAMA

CATEGORIES