Teknologi terbaharu penternakan kupang lebih teratur

Teknologi terbaharu penternakan kupang lebih teratur

Teknologi baharu gantikan kaedah konvensional..

AYER KEROH 9 Okt. – Bagi menampung permintaan tinggi terhadap kupang di negeri ini, kerajaan negeri akan memperkenalkan teknologi terbaharu penternakan hidupan laut itu di kawasan Pernu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Johari Tim berkata, teknologi baharu itu bakal menggunakan sistem P-line, iaitu kaedah pelampung menggunakan paip HDPE, sekali gus bakal menggantikan kaedah panggar kupang (seperti kelong atau rumah rakit) yang ada di Kuala Sebatu.

Jelasnya, ini merupakan kali pertama teknologi ini diperkenalkan di negeri ini.

“Sistem P-line ini akan menggunakan paip HDPE berwarna hitam sebagai pelampung dan tali pemungut kupang dalam jarak 8 ke 10 inci dari pelampung.

“Setiap tali pemungut kupang akan diikat dengan jarak sekaki di antara satu sama lain.

“Sistem ini kelihatan seperti apa yang dapat anda lihat dalam acara renang, iaitu ada pelampung yang akan membezakan kawasan setiap perenang. Jadi itulah yang akan kita jalankan sedikit masa lagi.

“Saya boleh kata untuk negeri Melaka, ia merupakan kali pertama teknologi ini diperkenalkan, tetapi di Johor dan sesetengah kawasan di Selangor sudah ada lesen dikeluarkan untuk projek ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Johari, pemilihan teknologi terbaharu ini bagi menggantikan kaedah konvensional adalah bertujuan untuk menjadikan kawasan penternakan lebih tersusun dan tidak mengganggu pandangan mata.

“Sistem P-line ini kalau dari segi pemandangan itu lebih cantik dan tersusun kerana paip yang digunakan hanya terapung di atas air.

“Sebagai permulaan kita akan pasang tiga unit P-line dahulu di perairan Pernu ini.

“Dari situ kita akan menilai segala aspek seperti kualiti air, tumbuhan dan plankton yang ada di kawasan terbaik selain kita juga akan kaitkan dengan jumlah kupang yang melekat pada satu-satu tali,” katanya lagi.

Mengulas rungutan segelintir pihak yang mengatakan tuaian kupang tidak semeriah dahulu, Johari mengakui berlaku penurunan tuaian dan menyifatkan ia berlaku di atas beberapa faktor.

“Fakor utama mungkin disebabkan perubahan kualiti air di perairan kita. Berbagai faktor akan menyebabkan berlaku perubahan ini.

“Ia boleh berlaku disebabkan pembangunan dan ia juga mungkin disebabkan faktor air tawar yang banyak sehingga menyebabkan kadar kemasinan air berkurangan,” katanya.

Beliau turut menasihati penternak agar tidak menuai semua kupang induk yang melekat pada tali pemungut setiap kali tuaian dan perlu menyimpannya sedikit bagi terus menggalakkan pembiakan kupang ini.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES