Teknologi Melaka sentiasa kehadapan

Kecil-kecil cili padi, itulah kehebatan Melaka

PERKEMBANGAN pesat dalam industri teknologi di negeri ini turut menyaksikan kemunculan syarikat tempatan yang memiliki kepakaran setanding dengan syarikat luar negara.

Ia termasuk menawarkan kepakaran teknologi melalui pelbagai program dalam usaha meningkatkan produktiviti.

Selain itu, terdapat juga kerjasama serta hubungan baik bersama syarikat ternama serta agensi kerajaan dan industri.

Kesemua kerjasama ini secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak penyelidikan, pembangunan, latihan dan pengujian dilaksanakan.

Ia sekali gus membantu meningkatkan produktiviti, daya inovasi dalam sistem pengurusan masing-masing.

TEKNOLOGI DIGITAL BAGI INDUSTRI PERLADANGAN

Dalam laporan MelakaKini Oktober lalu, kerajaan bercadang mengguna pakai teknologi berteraskan digital bagi meningkatkan produktiviti industri berasaskan perladangan di Malaysia.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kementeriannya
menggalakkan mana-mana pihak, khususnya yang mempunyai kepakaran teknologi untuk bekerjasama dalam meningkatkan produktiviti hasil ladang sama ada sawit, getah, koko mahupun industri komoditi lain.

Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pelaburan bagi sumber manusia dan bukannya menggunakan sumber pekerja yang ramai.

“Pengurusan pendigitalan ini termasuk beralih kepada penggunaan teknologi seperti robotik dan imbasan,” katanya.

Jelasnya, kementeriannya juga sedang memfokuskan usaha menjadikan petani di seluruh negara berkemahiran dalam bidang keusahawanan.

“Kecenderungan kementerian bagi memastikan petani pada masa depan punyai elemen (kemahiran) keusahawanan.

“Ia secara tidak langsung dapat membantu petani dalam industri komoditi kekal bertahan walaupun pasarannya mungkin terjejas atau jatuh pada paras rendah,” katanya.

TEKNOLOGI BAHARU TINGKAT HASIL PERTANIAN

Pemain industri pertanian di negeri ini disaran mengaplikasi elemen teknologi baharu, sekali gus meningkatkan hasil pertanian mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia termasuk mewujudkan ‘artificial intelligence’ berkonsepkan Internet of Things (IoT).

Menurutnya, penggunaannya perlu dioptimumkan bagi membantu menjana pendapatan dalam pelbagai sektor pertanian.

“Walaupun Melaka negeri kecil dan terhad keluasan tanah pertanian, namun ia bukan penghalang menjadikan sektor pertanian cemerlang.

“Contohnya, di Melaka terdapat hub pengeluaran telur ayam dan industri rumina seperti penternakan kambing boer dan ‘agriculture’,” katanya.

Jelasnya, teknologi itu membuktikan saiz kecil tidak menjadi masalah bagi sektor pertanian di Melaka.

“Justeru, semua pihak perlu ambil kesempatan teknologi yang ada seperti ‘artificial intelligence’ dan IoT ini,” katanya.

Salahuddin meminta semua jabatan dan agensi berkaitan memberikan maklumat lanjut supaya teknologi ‘Iot’ menjadi elemen baharu yang mampu meningkatkan hasil pertanian.

“Kementerian akan sentiasa mengemukakan pendekatan dan teknologi baharu khususnya dalam artificial intelligence untuk diaplikasikan dalam sektor pertanian,” katanya.

NEGERI TERAWAL BINA INSINERATOR

Melaka merupakan antara negeri terawal menjalankan sistem pengurusan sampah dikenali loji insinerator atau waste to energy (WTE) yang dijangka dibina tidak lama lagi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata,
pembinaan stesen WTE itu mampu mengatasi masalah tapak pelupusan sampah di negeri ini dengan sistematik pada masa depan.

Menurutnya, projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500 juta itu akan beroperasi di Sungai Udang.

“Kerajaan negeri masih dalam proses pengambilan tanah dan selepas itu, tender akan dimulakan pada tahun depan juga,” katanya.

Menurut Kok Kiew, kira-kira 900,000 penduduk negeri ini menghasilkan kira-kira 1,000 tan sampah sehari.

“Walaupun Melaka bakal melaksanakan sistem WTE, kerajaan negeri tekad memberi pendekatan masyarakat terhadap kempen kitar semula yang perlu dilaksanakan melalui kerjasama awam dan swasta.

“Sejak SAS dilaksanakan di negeri ini pada 2016, sebanyak 870 tan bahan buangan dikitar semula sepanjang tahun itu,” katanya.

MAHASISWA SERLAH BAKAT CIPTA ROBOT AUV

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerlahkan kepakaran dalam pusingan akhir Singapore Autonomous Underwater Vehicle Challenge 2019 (SAUVC 2019) di Politeknik Singapura, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, pasukan ‘AUV Panther’ dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) telah menjalani beberapa latihan dengan menyertai pertandingan kenderaan bawah air autonomi peringkat kebangsaan pada Disember lalu.

Katanya, penyertaan di Kolej Yayasan Saad (KYS) itu sebagai persiapan menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.

“Hasil konsep ilmu dan kepakaran yang diperoleh, membolehkan mereka mempraktikkan sepenuhnya pengetahuan dalam penghasilan robot.

“Ia melibatkan bidang reka bentuk mekanikal, elektrik, elektronik dan juga perisian komputer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pusingan akhir SAUVC 2019 di Politeknik Singapura, baru-baru ini.

Ujarnya, penglibatan mahasiswa UTeM itu bagi memupuk semangat berdaya saing, setiakawan dan nasionalisme.

Sementara itu, Penyelaras Pasukan UTeM, Dr. Mohd Khairi Mohamed Nor berkata, UTeM telah menghantar tiga pasukan AUV.

“Ia terdiri daripada 16 mahasiswa dari FKM, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Fakulti Teknologi
Kejuruteraan (FTK).

“Peserta telah membuat persiapan lebih awal dengan membuat kajian dan pelbagai ujian ke atas robot mereka berdasarkan tugasan khas yang diberi penganjur,” katanya.

Katanya, pasukan terlibat telah mengubahsuai AUV mereka dengan cara tersendiri menggunakan teknologi seperti pencetak 3-D dan sistem kawalan menggunakan perisian dan pengawal mikro Arduino dan Raspberry Pi.

“Selain, penyediaan reka bentuk kerangka, fabrikasi pelampung dan pemasangan sistem elektrik serta elektronik AUV menggunakan bahan seperti panel komposit, acrylic, plat dan paip pvc kerana sifatnya yang ringan, kukuh dan kalis air,” katanya.

SAUVC 2019 memfokuskan kepada kenderaan bawah permukaan air autonomi yang memberi cabaran kepada mahasiswa untuk memperluas pengetahuan dan mengaplikasi kemahiran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, elektrik dan perisian.

Program SAUVC telah memasuki tahun ke-6 anjuran Persatuan Kejuruteraan Lautan Singapura, Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Singapura dan Politeknik Singapura.

SIC GABUNG TEKNOLOGI DIGITAL AUTOMASI

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan pembukaan kilang Konica Minolta Business Technology (M) Sdn. Bhd. sebagai sebuah Pusat Industri Pintar (SIC).

Pengarah Urusan Konica Minolta, Hideyuki Yoshida berkata, pembangunan kilang itu mampu merealisasikan model pembuatan baharu yang menggabungkan penggunaan teknologi digital berdasarkan automasi, teknologi maklumat dan kepakaran pembuatan yang lebih efektif.

“Menerusi kerjasama daripada beberapa rakan niaga, kilang ini mampu membekalkan pelbagai peralatan pemprosesan digital, perisian, papan litar bercetak dan perkhidmatan logistik global di negeri ini.

“Ia sekali gus membuka peluang kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak infrastruktur bertaraf dunia,” katanya.

CATEGORIES
TAGS