Categories: MELAKA

Tasha teruskan legasi ‘Shine On Carwash’

SUASANA di Shine On Carwash sentiasa dikunjungi pelanggan.

BANDARAYA MELAKA 8 Ogos – Dalam dunia moden masa kini, lelaki atau wanita tidak boleh mengatakan sesuatu bidang kerjaya itu menjadi milik mereka.
Ini memandangkan banyak bidang yang dikatakan hanya mampu dilakukan oleh lelaki terbukti boleh juga dilakukan oleh wanita.

Tasha Johari, 37, yang miliki personaliti lemah lembut sebenarnya begitu kental mengusahakan empayar perniagaan dalam bidang dipelopori kaum lelaki mengakui perniagaan ini memberi cabaran besar buatnya, namun dia tekad untuk terus ke hadapan.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang terbabit, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu berkata, bergelar pengasas dan pemilik perniagaan pembersihan kereta dalam dan luar negara atas jenama ‘Shine On Carwash’ bukanlah satu perkara mudah.

“Asalnya, saya tidak terfikir pun nak buka carwash, tetapi hasrat dan keinginan arwah suami yang mahu menjalankan perniagaan ini membawa saya ke sini.

“Hingga ke hari ini memandangkan kami sama-sama peminat kereta dan cerewet tentang atika pencucuian kereta.

“Kami bermula pada Januari 2014 di atas sebidang tanah kosong milik keluarga yang kemudiannya ditambak dan didirikan bangunan dengan kos permulaan lebih kurang RM80,000.

“Memandangkan abang saya ada sedikit pengalaman kerana dia juga membuka perniagaan carwash di Cheng, jadi dari dialah kami suami isteri belajar mendalami bidang ini,” katanya kepada MelakaKini.

Jelasnya, perniagaan awal itu diuji apabila suaminya, Noor Rassul Bustamam meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya iaitu tujuh bulan selepas mereka mulakan perniagaan itu.

“Terasa gelap dunia seketika, tiada lagi tempat bergantung harap, namun saya perlu kuat meneruskan kehidupan bersma anak-anak dan merealisasikan impian arwah suami untuk melihat perniagaan ini berjaya.

“Permulaanya agak sukar, tetapi saya tidak mahu mengalah, apa saja peluang untuk menambah ilmu, saya sertai dan terus belajar selain menjalanklan testimoni sendiri di semua kedai cuci kereta seluruh Melaka dan melihat cara mereka bekerja.

“Untuk perniagaan ini, saya yang menguruskan segalanya dan saya perlu bijak serta cekap mencari peluang terbaik supaya dapat terus bersaing dengan perniagaan lain yang diusahakan kaum lelaki,” katanya yang dibantu lima kakitangan.

“Kenangan pahit terlalu banyak. Saya tidak dapat melupakan pelbagai kenangan pahit pada awal pembabitan dalam bidang ini terutama sering ditipu ketika mahu membeli dan mendapatkan stok aksesori terbaik,” katanya tersenyum ketika ditanya pengalaman pahit ceburi perniagaan ini.

Menurutnya, walaupun pahit mengharungi pelbagai dugaan pada awal pembabitannya kira-kira empat tahun lalu, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus mengharungi arus perniagaan.

“Bermula dari itu, saya terus berusaha dan memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan terutama menyediakan pelbagai segemen kebersihan dalaman dan luaran kenderaan mereka dengan kualiti terbaik.

“Pada masa sama, saya juga belajar mengenali setiap jenis kenderaan mengikut jenama kerana ia perkara paling asas untuk peniaga seperti saya.
“Saya tidak mahu ditipu atau sekadar mengharapkan maklumat dari pekerja,” katanya yang juga Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Hang Tuah Jaya (HTJ) ini positif.

Menurutnya, dia sentiasa membuat kajian dan penelitian khusus dalam perniagaan ini dan berazam membuktikan wanita juga mampu berjaya mengusahakan bidang dipelopori lelaki dan berdiri sama tinggi dengan golongan itu dalam bidang perniagaan.

“Status sebagai ibu tunggal tidak menyekat langkah saya dalam bidang ini, malah saya mahu buktikan bahawa wanita yang menjalankan pelbagai tugas pada satu masa juga boleh mengusahakan perniagaan yang biasanya dijalankan oleh lelaki.

“Minat penting untuk membolehkan kita berasa selesa dan seronok menjalankan perniagaan.

“Minat juga menghilangkan rasa kekok walaupun pada mata kasar saya ini seolah-olah tidak sesuai bergelar pemilik perniagaan sebegini.

“Saya pentingkan kepuasan pelanggan dan sebab itulah saya sentiasa berusaha mencari jalan untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada harga mampu milik. Kepercayaan pelanggan itu penting dan ia tidak boleh disia-siakan.

“Ini adalah antara kejayaan manis dalam diri dan perniagaan saya kerana mendapat kepercayaan pelanggan yang pastinya mahukan aksesori terbaik dan berkualiti,” katanya.

Tasha turut mendapat kepercayaan tender mencuci kereta kenderaan rasmi pegawai kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta van-van jenazah di bawah kendalian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Kepercayaan terhadap perkhidmatan Shine On Carwash juga turut menambat pihak Peroudua dan Subaru untuk mencuci kereta baharu sebelum menyerahkannya kepada pelanggan.

Walaupun sudah dikira stabil dalam perniagaannya, Tasha berkata, dia belum boleh menarik nafas lega kerana perjuangan dalam bidang perniagaan diceburinya itu masih panjang.

“Saya mahu Shine On Carwash terus berkembang maju di negara ini dan menjadi pilihan utama peminat kereta.

“Disebabkan itu, saya masih lagi perlu belajar dan mengkaji apa yang terbaik berkaitan bidang ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menyesali usaha dan pilihannya itu kerana selain menambah pengalaman dan pengetahuan, ia juga membuatkan kehidupannya lebih berwarna-warni.

“Saya akan terus melangkah dan membuktikan bidang ini sesuai dengan diri saya selain sentiasa bersyukur kerana dikelilingi anak-anak dan ahli keluarga yang memahami.

“Mereka adalah tulang belakang kejayaan saya dan tanpa mereka, pasti saya tidak mampu berdiri di tempat sekarang.

“Saya juga berhajat membuka bilik seminar dan kursus bagi membantu usahawan ‘carwash’ baharu mendapatkan latihan pencucian yang betul,” ujarnya yang turut mendapat pembiayaan dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Ahmad Fuad Bin Ramdan

Leave a Comment
Share
Published by
Ahmad Fuad Bin Ramdan

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

2 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

5 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

5 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

5 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

5 months ago