5 Perigi Bersejarah di Melaka. No 3 tu dah Beratus Tahun

5 Perigi Bersejarah di Melaka. No 3 tu dah Beratus Tahun

PERIGI Hang Li Po terletak di Bukit Cina.

MELAKA memang terkenal dengan keistimewaan dan keunikan tempat-tempat menarik terdapat di negeri ini termasuklah perigi-perigi lama yang wujud sejak zaman pemerintahan Portugis dan British suatu ketika dulu.

Sebahagian perigi lama yang ditemui telah dinaik taraf untuk dijadikan tumpuan pelancong supaya lebih indah dan menarik lagi.

Tidak lengkap berkunjung ke negeri Hang Tuah ini jika tidak pergi ke Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong, Perigi Hang Li Po di Bukit Cina, Perigi Belanda di Alai dan Perigi Portugis di Kampung Merlimau, Jasin serta Perigi Air Buak.

Kesemua perigi ini menjadi tarikan pelancong ke Melaka kerana mempunyai nilai sejarah dan estatikanya tersendiri.

 

1. Perigi Hang Li Poh

Perigi Hang Li Poh atau dikenali sebagai Perigi Raja ini dibina pada tahun 1459 di bawah arahan Sultan Mansur Shah kepada isteri baginda, seorang puteri dari negara China, Puteri Hang Li Poh.

Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau.

Pihak Belanda membina tembok di sekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai perigi permintaan (wishing well).

Ada yang berkata, mereka yang melontar duit syiling ke dalamnya akan kembali ke Melaka pada masa depan. Perigi ini terletak di Jalan Puteri Hang Li Po di Bukit Cina.

Pada tahun 1551, askar dari Johor telah meracun air perigi tersebut dan mengakibatkan 200 askar Portugis mati. Pada tahun 1606, askar Belanda pula meracun air perigi itu, diikuti pada tahun 1628 dan 1629 oleh askar Acheh.

Setelah Belanda berjaya menakluki Melaka, mereka telah dirikan kota kecil lengkap dengan meriam di sekeliling perigi tersebut supaya air perigi itu tidak diracun lagi pada masa hadapan.

Perigi ini menjadi tarikan utama pelancong dari negara China yang datang ke Melaka kerana Hang Li Po punyai susur galur dari negara tersebut.

Sedikit info mengenai Bukit Cina semasa Puteri Hang Li Po datang ke Melaka, beliau telah membawa 500 dayang bersamanya.

Oleh itu, Sultan menghadiahkan Bukit Cina kepada sang puteri dan berjanji tanah itu akan menjadi hak milik kekal mereka.

Kini, Bukit Cina masih hak milik komuniti Cina, tetapi telah menjadi kawasan perkuburan mereka.

Kawasan perkuburan itu dianggap ‘auspicious’ dan kawasan perkuburan terbesar selain di negara China.

 

2. Perigi Hang Tuah

Perigi Hang Tuah terletak di Kampung Duyong, Melaka dikatakan punyai kaitan dengan Hang Tuah seorang pahlawan terkemuka di Nusantara di Zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar tahun 1398 hingga 1511.

Laksamana Hang Tuah yang dilahirkan di Kampung Duyong dipercayai menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya.

Pada asalnya, perigi ini adalah kecil, tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering, walaupun di musim kemarau panjang.

Sejak dulu lagi, air Perigi Hang Tuah tetap sama dan tidak berubah, malah kejernihannya turut tidak terjejas selain pernah dijadikan air minuman kerana ianya bersih.

Sehingga kini pun, pelancong yang datang tidak ragu-ragu ambil air perigi terbabit dengan membasuh muka mereka disebabkan airnya dingin dan menyegarkan.

Ketika krisis air melanda Melaka pada 1991, perigi berkenaan tetap mempunyai air yang mencukupi, malah tidak terjejas langsung

Air Perigi Hang Tuah yang dikatakan mujarab untuk menyembuhkan penyakit juga turut menarik mereka dari luar kawasan ini datang mengambil air selain ada juga yang mandi di sini.

Ada juga cerita bahawa perigi ini tempat tinggal roh Hang Tuah yang menjelma sebagai seekor buaya putih.

Ia dikatakan bahawa orang biasa tidak dapat melihat buaya ini dan hanya orang-orang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.

 

3. Perigi Air Buak

Perigi Air Buak yang telah lama wujud di Kampung Baru Bukit Beruang sejak zaman pemerintahan tentera British yang dikatakan sudah berusia hampir 100 tahun.

Menyedari tentang keistimewaan perigi lama itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menaik taraf perigi berkenaan untuk dijadikan salah satu produk pelancongan terbaharu bagi Melaka.

Berdasarkan cerita dari penduduk kampung terbabit, Perigi Air Buak bermula apabila air dari bawah tanah tiba-tiba membuak keluar dan sejak itu, penduduk yang tinggal berdekatan membina sebuah perigi baru bagi kegunaan penduduk di situ.

Sejak kejadian tersebut, air dari perigi berkenaan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau termasuk apabila Melaka dilanda krisis bekalan air yang teruk pada tahun 1990.

 

4. Perigi Belanda

Sama ada disedari atau tidak, masih ramai penduduk sekitar negeri ini tidak tahu kewujudan sebuah perigi lama peninggalan sejarah semasa zaman penjajahan kerajaan Belanda terletak di Jalan Hashim, Kampung Alai, di sini.

Perigi berkenaan pernah berfungsi sebagai sumber air utama tentera Belanda yang bertugas di situ di samping sebagai keperluan minuman serta memandikan kuda mereka ketika era penjajahannya di Tanah Melayu.

Lokasinya perigi berkenaan terletak kira-kira 400 meter dari laluan masuk kampung terbabit berhampiran simpang lampu isyarat Alai.

Perigi berkenaan dipercayai dibina tentera Belanda yang berkawal di situ semasa menentang orang Bugis.

Maklumat juga mencatitkan bahawa perigi tersebut dibina menggunakan batu-bata Belanda yang biasa terdapat pada bangunan mereka.

Menurut cerita penduduk kampung juga, air perigi itu tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau dan ia seringkali digunakan penduduk berhampiran untuk kegunaan harian dan masih kekal hingga kini.

 

5. Perigi Portugis

Perigi Portugis terletak berhampiran Makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak. Lokasi Perigi Portugis hanya lima minit memandu dari Pekan Merlimau.

Perigi ini digali oleh tentera Portugis ketika pemerintahan Portugis di Melaka selama 130 tahun. Sultan Mahmud Syah melarikan diri ke Johor selepas kejatuhan Dinasti Melaka.

Baginda sering menyerang Portugis supaya mendapatkan semula Melaka. Askar-askar telah ditempatkan di sana untuk melindungi Merlimau dari serangan musuh.

Kedudukan industri pelancongan yang semakin meningkat kepentingannya telah menjadikan industri tersebut sebagai salah satu penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi Negeri Melaka.

Selaras dengan moto “Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia”, maka Kerajaan Negeri Melaka telah menjalankan pelbagai aktiviti bagi menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri yang punyai banyak destinasi yang dianggap sebagai antara bernilai sejarah di dunia.

Oleh itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif membaik pulih semua perigi bersejarah di Melaka bagi tatapan generasi akan datang, sekali gus menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

CATEGORIES
TAGS