Categories: MELAKARENCANA

4 Fakta Tanjung Tuan yang mesti anda tahu.

KANAK-kanak sekolah turut teruja melihat lebih dekat burung-burung yang migrasi ke Tanjung Tuan.

TANJUNG Tuan dahulunya dikenali sebagai Cape Rachado iaitu sebuah tanjung yang kedudukannya menganjur keluar ke Selat Melaka dari tanah Negeri Sembilan.

Dikelilingi Selat Melaka di sebelah utara, barat dan selatan, di sebelah timur pula, Tanjung Tuan bersempadan dengan Negeri Sembilan membuatkan kedudukannya berada di persisiran dari tanah besar Negeri Sembilan.

Mengikut sejarahnya, Tanjung Tuan terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari Bandar Port Dickson dan 80 km dari Bandar Melaka mula ditadbir sebagai sebahagian dari Negeri Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

1. TEMPAT KAWALAN KAPAL DAGANG

Pada masa itu, ia menjadi tempat kawalan kapal dagang yang melalui perairan Selat Melaka kerana kedudukan perairannya yang sempit memudahkan pihak penguasa memantau atau mengawal kapal yang melaluinya.

Kedudukan Tanjung Tuan yang strategik juga dipercayai menjadi faktor utama tempat tersebut terus digunakan oleh pemerintah di Melaka termasuk Portugis, Belanda dan Inggeris.

Buktinya, sehingga hari ini, masih terdapat rumah api di puncak bukit yang tertinggi di kawasan ini menghadap ke Selat Melaka di mana pada asalnya dibina oleh Portugis pada abad ke-16 sebelum dibina semula oleh pihak Inggeris pada tahun 1839.

Pada 1921, kawasan ini telah diwartakan sebagai salah satu daripada hutan simpanan kekal yang tertua di Malaysia dan ditadbir oleh Pejabat Hutan Negeri Melaka.

Selepas itu, ia juga telah diwartakan sebagai Kawasan Suaka Kehidupan Liar pada tahun 1971 dan Kawasan Perlindungan Mergastua pada tahun 1991 dan diletakkan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bersempadan dengan Port Dickson.

2. DIWARTAKAN KAWASAN SANTUARI BURUNG LIAR

Hari ini, Tanjung Tuan terletak berhampiran Ilham Resort Port Dickson ini dikenali sebagai pantai peranginan yang diwartakan sebagai kawasan santuari burung liar.

Seperti sudah dijadualkan iaitu setiap menjelang Mac hingga April, burung-burung berkenaan mula singgah di ruang udara sekitar Tanjung Tuan.

Burung-burung berkenaan yang datang dalam kelompok besar akan berlegar-legar di sekitar hutan simpan Tanjung Tuan hingga menarik ribuan pencinta alam khususnya pemerhati dan peminat burung pemangsa yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin melihat kebanjiran spesies tersebut.

Kehadiran burung-burung ini mengikut musim setiap tahun di antara hemisfera utara dan hemisfera selatan. Ketika musim sejuk burung terbabit mencari kawasan cuaca panas khususnya di Asia Tenggara dan gugusan kepulauan Asia bagi menghindari musim sejuk serta mudah untuk mendapatkan makanan.

3. LIKASI TRANSIT BURUNG

DIANGGARKAN lebih 50,000 ekor burung pemangsa datang ke Tanjung Tuan.

Burung migrasi ini telah menjadikan Tanjung Tuan sebagai lokasi transit untuk mendapatkan bekalan makanan, santuari rehat serta perlindungan yang selamat sejak ratusan tahun lalu sebelum meneruskan perjalanan bermusim melintas hemisfera.

Menyedari keunikan ini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan telah menganjurkan program Raptor Watch Weekend-RWW (Minggu Pemerhatian Burung Helang) bagi kesedaran orang ramai tentang kewujudan fenomena semula jadi ini sejak ratusan tahun dahulu dan menghargainya di samping berusaha untuk mengekalkannya untuk tontonan generasi seterusnya.

4. TARIKAN PEMINAT BURUNG SELURUH DUNIA

Peminat burung pemangsa ini bukan saja terdiri dari kalangan rakyat tempatan, malah luar negara seperti Jepun, United Kingdom, Perancis, Taiwan, Singapura, Filipina dan Tunisia.

Pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kanak-kanak dan golongan remaja tidak melepaskan peluang hadir bersama keluarga semata-mata ingin melihat dari dekat spesies burung pemangsa berlegar-legar di sekitar hutan simpan Tanjung Tuan.

Terdapat tujuh spesies burung pemangsa yang akan singgah, antaranya oriental honey-buzzard, black baza, Japanese sparrowhawk, Chinese goshawk dan grey faced buzzard.

Jumlah yang direkodkan ialah kira-kira 50,000 ekor burung pemangsa berlegar di ruang udara sekitar Tanjung Tuan.

Ahmad Fuad Bin Ramdan

Leave a Comment
Share
Published by
Ahmad Fuad Bin Ramdan

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago