Tan Sri Abu Talib Tokoh Maal Hijrah Melaka

Tan Sri Abu Talib Tokoh Maal Hijrah Melaka

Tahniah kepada Tan Sri Abu Talib

AYER KEROH 5 Sept. – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1441H Negeri Melaka pada Majlis Perhimpunan Ummah dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1441H peringkat negeri di Melaka International Trade Centre (MITC) di sini hari ini.

Beliau menerima plak, sijil dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir, Ketua Menteri Adly Zahari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan.

Abu Talib, 81, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana memberi pengiktirafan terhadap segala sumbangan beliau sebelum ini.

Beliau yang berasal dari Merlimau, Jasin berkhidmat sebagai penjawat awam selama 32 tahun dengan 13 tahun daripadanya sebagai Peguam Negara.

Selain Abu Talib, Mohd Khalil turut menyampaikan plak, sijil dan sumbangan tunai kepada lapan penerima anugerah khas Maal Hijrah 1441 Negeri Melaka yang lain.

Antaranya ialah Mohd Azmeen Kamarulzaman yang menerima Anugerah Warga Istimewa (Anugerah Abdullah Ummi Maktum).

Berusia 29 tahun, beliau adalah seorang jurumudi di Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dan merupakan atlet paralimpik Malaysia bagi acara sukan renang.

Mohd Azmeen bakal mewakili Melaka pada Sukma Johor 2020 dalam beberapa kategori acara renang paralimpik dan menyasarkan untuk memperoleh satu pingat emas.

Lebih 800 tetamu menghadiri majlis pada hari ini.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS