Categories: MELAKA

Tambak laut: Pendaratan penyu tidak terjejas

MASJID TANAH 14 Feb. – Pendaratan penyu, khususnya penyu karah di pantai negeri ini dipastikan tidak terjejas walaupun ada kerja menambak laut di beberapa kawasan.


Ini kerana Jabatan Perikanan Melaka sentiasa mempergiatkan usaha memantau pendaratan penyu di pantai negeri ini berikutan penambakan laut yang dibimbangi menjejaskan aktiviti haiwan terbabit.

Selain itu, jabatan berkenaan meningkatkan kerjasama dengan anggota komuniti di kawasan pantai terutama di pantai Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, dekat sini bagi melindungi penyu yang mendarat ke pantai untuk bertelur.

Timbalan Pengarahnya, Nawar Abdul Karim menjelaskan, pembangunan negeri yang memerlukan pantai ditambak tidak boleh diketepikan tetapi pemuliharaan sumber penyu harus dipergiat bagi memastikan haiwan itu tidak pupus.

“Pegawai dan kakitangan jabatan mempergiat rondaan di kawasan pantai bagi membantu memulihara penyu dan memastikan pendaratannya tidak terjejas teruk berikutan kerja menambak laut,” katanya selepas program Penghargaan Pekerja Konservasi Penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini hari ini.


Seramai lapan pekerja terbabit atau lebih dikenali sebagai ‘Renjer’ yang bertanggungjawab mengawasi penyu bertelur dan mengutip telur berkenaan menerima sijil penghargaan yang disampaikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik.

Hadir sama, Ketua PKPP, Mastura Daud.

Majlis berkenaan turut memberi penghargaan kepada Renjer Allahyarham Omar Eden, 58, yang meninggal dunia pada 2 Disember lalu dengan sijil diserahkan kepada isteri arwah, Zaharah Atan, 57.

Berdasarkan rekod jabatan itu, pantai sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi adalah kawasan pendaratan penyu karah (hawksbill), iaitu spesis penyu yang kedua terbesar saiznya selepas penyu lipas tetapi lebih kecil berbanding penyu agar dan penyu belimbing.

Purata antara 400 hingga 500 sarang atau pendaratan penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding kawasan lain.

Pendaratan penyu karah di Pantai Padang Kemunting menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di Melaka.

Sebanyak 4,595 sarang telur penyu yang dicatatkan di Melaka dari 2009 hingga 2018 berpotensi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama khusus untuk pencinta haiwan berkenaan.

Dalam tempoh itu juga sebanyak 545,117 telur penyu dijumpai di Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.

Sebanyak 320,679 anak penyu dilepaskan ke laut dalam tempoh berkenaan, sekali gus menjadikan pantai di negeri ini sebagai lokasi pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

3 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

3 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

3 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

3 months ago