Taman Buaya & Rekreasi Melaka  optimis capai 100,000 pengunjung

Taman Buaya & Rekreasi Melaka optimis capai 100,000 pengunjung

PENGUNJUNG Taman Buaya dan Rekreasi Melaka memberi makanan kepada haiwan di taman tersebut.

AYER KEROH 6 Ogos – Taman Buaya dan Rekreasi Melaka yakin sasaran 100,000 pengunjung dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

Pengurus Besarnya, Ahmad Syarifuddin Mohamad berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan penambahan aktiviti yang dilihat berjaya menarik bilangan pengunjung terutama pada musim cuti sekolah dan Ahad.

“Pada 2016, kita hanya mendapat kira-kira 75,000 pengunjung berbanding 90,000 pengunjung yang disasarkan.

“Namun, pada 2017 jumlah itu meningkat kepada 86,000 pengunjung, bagaimanapun masih tidak mencapai sasaran 90,000 pengunjung.

“Tahun ini, kita buat beberapa perubahan dari segi penambahan haiwan dan aktiviti di sini dan menjangkakan sasaran 100,000 dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di taman itu, Sabtu lalu.

Sementara itu, Arif berkata, pihaknya sedang melakukan kerjasama antara pemain industri perhotelan dan homestay bagi meningkatkan jumlah pengunjung ke taman terbabit.

“Diskaun 20 peratus akan diberikan kepada pengunjung yang menginap di hotel dan homestay terpilih.

“Perkara ini dilihat sebagai situasi menang-menang di mana kami menerima pengunjung, pihak homestay dan hotel boleh menaikkan kadar sewa bilik dan pengunjung pula dapat menikmati produk pelancongan dan kadar bilik yang berpatutan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS