Categories: KebajikanMELAKA

‘Tak sangka, rasa seperti mimpi bila terima rumah percuma’

MASJID TANAH 17 Dis. – “Bila orang tanya saya memang tak sangka dan rasa umpama sedang bermimpi apabila menerima rumah baharu yang diberikan percuma dari kerajaan negeri,” kata seorang penerima Rumah Peduli, Rasidah Md. Ishak, 49, yang begitu bersyukur dengan penantian inisiatif tersebut.

Katanya, peluang yang diberikan itu memang tidak disangka dia dan suaminya, Abd. Kadir Zainal, 53, yang telah memohon peruntukan rumah seperti itu saban tahun dahulu menerusi pelbagai bantuan daripada kerajaan terdahulu bagaimanapun tidak menemukan khabar gembira buat keluarganya.

Menurutnya, permohonan yang dilakukan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Semut yang mengarahkan melakukan permohonan Rumah Peduli pada penghujung Oktober lalu.

“Alhamdulillah sudah lama kami berhasrat untuk memiliki rumah sendiri, tak besar, kecil pun jadilah daripada bergantung dengan rumah sewa yang kami telah duduki sekeluarga sejak 22 tahun lalu.

“Dengan inisiatif Rumah Peduli yang diterima ini dapatlah kami sekeluarga duduk dengan selesa daripada sebelum ini, jika anak-anak semua pulang ke kampung, keadaan rumah menjadi sempit khususnya pada Hari Raya Aidilfitri sehinggakan terpaksa menyewa di rumah Inap Desa.

“Dengan Rumah Peduli yang telah siap ini, Insya-Allah kami dapat berkumpul bersama, dengan ruangan yang kondusif yang disertakan tiga bilik ini kami cukup bersyukur dengan nikmat yang diberikan bagi meniti kehidupan baharu di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Kampung Pulau Semut, di sini hari ini.

Rasidah apabila ditanya MelakaKini, inisiatif diterima keluarganya bagi memiliki sebuah rumah sendiri merupakan sebuah rezeki terbesar buat keluarga yang bergantung kepada perniagaan warungnya dan mengambil upah menjahit pakaian itu.

“Sebelum ini memang ada perancangan nak buat rumah sendiri kerana kita nak bina rumah pun untuk anak-anak sebab sampai bila kami nak bergantung dengan rumah sewa saja.

“Ada seorang penduduk kampung di sini ingin menjual papan terpakai hasil dari rumah kayu dan kami pun merancang ingin bangunkan rumah dari papan terpakai itu untuk dijadikan rumah buat kami.

“Tapi dengan rezeki dan nikmat yang ada ini, Alhamdulillah, rasa seperti mimpi, memang sukar untuk digambarkan dengan peluang yang diberikan ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Abd. Kadir, perkara itu merupakan rezeki terpijak buat keluarganya kerana dia baru sahaja menerima menerima kuasa pengambilan tanah pusaka ibunya kira-kira 1.5 ekar di kawasan itu dan pada masa sama MPKK kawasan berkenaan memberi saranan kepada keluarganya agar menghantar permohonan terbabit.

Ujarnya, rezeki itu berlaku secara serentak pada penghujung Oktober lalu dan terus membuat permohonan tersebut kemudiannya telah diluluskan kerajaan negeri.

“Rumah Peduli yang diterima ini siap sepenuhnya kira-kira dua bulan selepas diluluskan dan telah dibangunkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini.

“Malah kontraktor yang melaksanakan pembinaan rumah ini juga mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kami amat berpuas hati dengan pembinaan rumah ini kerana tiada cacat cela dilihat daripada kami.

“Sebelum ini juga kami ada merancang ingin membeli Rumah Mampu Milik (RMM) namun disebabkan desakan yang ada kerana ia melibatkan pinjaman bank dan wang pendahuluan, kami tak mampu untuk melaksanakannya dan membatalkan hasrat itu,” katanya.

Abd. Kadir yang merupakan seorang peniaga warung terletak berdekatan Batu 16, Jalan Solok Duku telah menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki keluarganya sejak 24 tahun lalu.

Katanya, 70 peratus daripada hasil perniagaan itu dengan purata pendapatan RM1,000 sebulan digunakan bagi menyekolahkan lima anaknya sejak dahulu malah, kini memerlukan perbelanjaan tinggi bagi menyara kehidupan anaknya yang menuntut di Darul Musthofa, Hadramaut,Yaman di dalam bidang Pengajian Syariah Islam.

“Setiap pendapatan yang diterima daripada saya dan isteri yang mengambil upah menjahit akan kami salurkan dan utamakan bagi pendidikan anak-anak.

“Malah seorang lagi anak juga sedang menuntut di Madrasah Al-Aliyah Sikamat di Seremban, Negeri Sembilan turut memerlukan perbelanjaan bagi menyara kehidupan sebagai seorang pelajar.

“Dengan adanya rumah baharu ini merupakan kehidupan baharu kami di sini dan amat berterima kasih dan terharu kepada kerajaan negeri yang telah memberikan Rumah Peduli kepada rakyat seperti saya di negeri ini,” katanya.

Faiz Hasan

Leave a Comment
Share
Published by
Faiz Hasan
Tags: utama

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

5 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

7 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

7 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

7 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

7 months ago