Syukur adik dah pulang…

Syukur adik dah pulang…

DUYONG 13 April – “Syukur adik dah pulang, hilang segala kerinduan mak dan ayah selepas 23 hari menanti kepulangan adik,” luah seorang bapa ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Yusri Mohamad, 54, ketika ditemui berkata, kepulangan anak bongsunya Nur Farihin,19, itu menceriakan kembali keluarga terutama isterinya.

Katanya, dia mendapat panggilan dari jirannya Selasa lalu bahawa anaknya berada di Setapak, Kuala Lumpur.

“Saya dapat panggilan kira-kira jam 8.30 malam dari jiran yang memaklumkan anak saya ada di Setapak.

“Jadi, saya hubungi kawan saya yang berada di kawasan sana untuk tahan anak dan bawa ke Balai Polis Setapak sementara tunggu saya sampai di sana,” katanya.

Yusri berkata demikian ketika ditemui MelakaKini di rumahnya di Taman Seri Duyong 2, hari ini.

Ujar Yusri, sewaktu tiba di balai polis tersebut anaknya terus datang memeluk erat ibunya.

“Masa jumpa Farihin dia tak cakap apa-apa pun, lebih suka diam, jadi kita pun tak tanya banyak soalan dekat dia.

“Bagaimanapun, syukur bila dia dah balik ni kami akan tunaikan janji untuk bawa dia jalan-jalan semua,” katanya.

Yusri turut berpesan supaya para ibu bapa memantau setiap pergerakan anak-anak terutamanya bila melibatkan anak perempuan.

“Saya harap ibu bapa di luar sana pantau pergerakan anak, sebab hanya kita ibu bapa yang rasa bagaimana kehilangan anak itu,” katanya.

Yusri turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mencari anaknya yang hilang.

MelakaKini sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan Farihin yang dipercayai mengikuti rakannya pada 19 Mac lalu.

CATEGORIES