Syria hancur kerana fitnah?

Syria hancur kerana fitnah?

Fitnah adalah senjata paling berbahaya di semesta ini!

“TIDAK akan berlaku kiamat sehingga dua pihak yang ramai daripada kalangan orang Islam berperang sesama sendiri,” Riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim.

Kenyataan di atas merupakan antara hadis sahih yang menyebut tentang fitnah.

Sebelum ini, ada kalangan umat Islam hanya memandang ‘enteng’ mengenai bahana fitnah kerana beranggapan ia lambat lagi akan berlaku, tetapi sedar atau tidak, fitnah kini menjadi senjata paling berbahaya di dunia berbanding bom atom, nuklear atau peluru berpandu kimia sendiri.

Buktinya lihat sahaja apa yang berlaku di bumi Syria, konflik perang saudara yang kini dilihat tiada penghujungnya.

Lebih menyedihkan, perang tersebut memperlihatkan orang Islam membunuh saudara Islam sendiri. Betapa luluh hati umat Islam dunia memperlihatkan suasana sebegitu.

Apatah lagi, ianya berlaku di bumi ‘Anbia’ Syria, tempat yang menyaksikan sejarah peradaban dunia serta kegemilangan Islam suatu ketika dahulu.

 

KERANA LUKISAN MURAL SEGALANYA TERGADAI

Bermula dengan tunjuk perasaan dan lukisan mural oleh sekumpulan remaja yang berusia 10 hingga 15 tahun di Daraa, perbuatan itu kemudian dibalas dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Mereka ditangkap, didera sampai mati dan hari-hari seterusnya menyaksikan bagaimana mereka diperlaku di luar batasan kemanusiaan.

Siri demi siri keganasan dengan pembabitan lebih 17 kuasa luar, Syria menjadi medan pertumpahan darah.

Rusia, Amerika Syarikat, Negara Perjanjian Atlantik Utara(Nato), Arab Saudi, Qatar dan lain-lain lagi menjadi pelaku asing yang telah menjadikan negara berkenaan sebagai medan perang proksi.

Kekacauan yang timbul akibat konflik dalaman telah membuka peluang kepada mereka untuk menyelinap masuk demi pengaruh dan kedudukan.

Ia memberi peluang kepada mereka yang berniat ‘BUSUK’ untuk menabur pelbagai jenis fitnah sehingga tercetusnya perang saudara Islam di Syria.

 

SETENGAH JUTA MAUT TERBUNUH

Bermula dari 15 Mac 2011 sehingga 31 Disember 2018, Syrian Observatory for Human Rights(SOHR) mengesahkan lebih 560,000 telah terbunuh.

Mengulas perkara yang sama, Syrian Network for Human Rights (SNHR) pada awal tahun ini melaporkan 4,162 orang telah menemui ajal di tangan tentera regim Bashar al-Assad pada 2018.

Selain itu kumpulan pelampau Islam turut menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah korban pada tahun lalu.

Dianggarkan 478 rakyat Syria telah menjadi mangsa. Daripada jumlah itu, seramai 446 orang mati angkara IS. Ia membabitkan 82 nyawa kanak-kanak dan 41 wanita.

Manakala 32 lagi dibunuh Hayat Tahrir al Sham (HTS), sekutu Al Qaeda.

Sementara itu, tentera Rusia pula bertanggungjawab menyebabkan kematian 467 orang termasuk 169 kanak-kanak dan 51 wanita.

Begitu juga dengan Tentera Bersekutu yang dipimpin Amerika Syarikat. Sekurang-kurangnya 417 orang telah terbunuh dalam pelbagai operasi yang dilancarkan bagi menggempur IS. 175 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Turut berada disenarai teratas, kumpulan bersenjata Kurdish yang bertanggungjawab menyebabkan kematian 285 nyawa. Tidak terkecuali Free Syrian Army (FSA), yang mewakili pakatan penentang anti kerajaan di Syria.

Sekurang-kurangnya 48 orang dilapor mati di tangan mereka. Dalam laporannya, SNHR berkata, 1,107 orang lagi termasuk 247 kanak-kanak dan 145 wanita telah dibunuh pelbagai pihak yang bertelagah.

JANGAN LEKA DENGAN FITNAH, BANGKIT!

Sewajarnya, kita harus bertindak untuk jangan terus leka dan mempercayai sebarang unsur fitnah jika kita mahu melihat dunia ini kekal aman sejahtera.

Di dalam Islam, golongan pemimpin harus mendidik ummah bersedia apabila fitnah itu datang, mereka berkewajipan mencari jalan terbaik untuk kemaslahatan umat Islam.

Kemudian, haruslah mengisyaratkan golongan yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat terdiri daripada mereka pada luarannya beriman dan melampau pegangan mereka serta menyeleweng.

Bagi menepis segala serangan fitnah, adalah menjadi keperluan bagi mendedahkan ancaman golongan munafik.

Selain itu, golongan Mukmin wajib bangkit menjalankan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ dalam menghadapi fitnah ini.

RASULULLAH SAW SUDAH BERI INGATAN AWAL

Rasulullah SAW menyebut dengan jelas fitnah peperangan dalam kalangan umat Islam sejak zaman sahabat, tabiin hingga hari ini. Perkara ini perlu dikaji untuk mendapat iktibar, orang Islam tidak sewajarnya menjadi pemerhati sahaja.

Rasulullah memberi peringatan menghadapi fitnah mengikut suasana setempat, ada kalanya baginda mencela orang yang terlibat, memuji orang yang tidak terlibat dan memuji mereka yang memperbaiki urusan orang Islam.

Mereka yang terlibat dengan fitnah tidak menggunakan akal sewajarnya kerana mengikut hawa nafsu semata-mata dan menjual agama dengan keduniaan.

Rentetan episod fitnah berbangkit sebegini, umumnya majoriti ulama bersetuju tidak membincangkan peristiwa fitnah yang berlaku dalam kalangan para sahabat secara terperinci dan menyerahkan kepada Allah menentukan siapa yang benar serta beriktikad mereka merupakan individu yang layak berijtihad.

Jika betul ijtihad mereka dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala ijtihad. Diriwayatkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika ditanya tentang Peperangan Siffin, berkata:

“Mereka terdiri daripada orang dibersihkan darah-darah mereka, aku tidak suka masuk campur dalam urusan mereka, lalu dia membaca firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 141 yang bermaksud: ‘Mereka itu adalah umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka usahakan dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka lakukan’.”

CATEGORIES
TAGS