Suspek kes dera, bapa penyayang, disenangi jiran

Suspek kes dera, bapa penyayang, disenangi jiran

Jangan cepat jatuhkan hukuman selagi mahkamah belum membuat keputusan

KANDANG 11 Sept. – Suspek yang disyaki mendera fizikal dan seksual seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kejadian di Kandang dikenali sebagai seorang bapa penyayang dan peramah dalam kawasan kejiranannya.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa, Andrena Nur Natasha Abdul Azim berusia dua tahun yang baharu hampir dua bulan berada di bawah jagaan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Melaka.

MOHD ZAMRI

Jirannya, Mohd Zamri Mat Rahim, 46, menyifatkan suspek lelaki terbabit merupakan individu paling tidak disangka melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Saya tidak tahu selama tempoh dua bulan ini dia dan isteri ada menjaga budak lain selain dari anaknya, bila berita keluar mengatakan dia ada jaga budak saya terperanjat lah, saya tidak pernah nampak dia atau isteri bawa keluar budak kecil lain selain anaknya sendiri.

“Sebab tu polis datang saya terkejut, saya rasa dia tidak lakukan perbuatan itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Solok Bakar Batu, Kandang di sini.

Mohd Zamri berkata, suspek bekerja sebagai penebar roti canai di kedai makan milik kakaknya selain membuat kerja sambilan sebagai tukang cat.

Dia ketika ditemui di kediamannya yang terletak kira-kira 20 meter daripada rumah pasangan suami isteri itu mengakui terkejut sebaik menerima berita berkenaan memandangkan suspek seorang peramah dan sangat baik dengan penduduk kampung.

Suspek wanita itu sebelum ini bekerja di sebuah farmasi di Bandaraya Melaka sebelum membuat keputusan berhenti kerja kerana mahu menguruskan persekolahan anak.

ROSLINA

Sementara itu seorang lagi jiran, Roslina Ahmad, 46, berkata, dia mengenali suspek lelaki itu sejak kecil lagi memandangkan mereka membesar di kampung yang sama.

“Dia lebih mesra dipanggil ‘Pendek’ oleh penduduk kampung dan setiap kali kalau jumpa orang kampung atau lalu depan rumah pasti dia akan menegur.

“Isteri dia agak pendiam dan baru berhenti kerja sekitar awal tahun lalu tetapi saya pernah dengar dia mencari kanak-kanak untuk diasuh bagi menambahkan pendapatan,” katanya.

Terdahulu, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai didera fizikal dan seksual oleh pengasuh dan suami pengasuhnya di sebuah rumah, di Kandang, semalam.

Suspek pasangan suami isteri masing-masing berusia 45 dan 36 tahun itu kemudian diperintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES