Categories: NASIONALRENCANA

Sumber Bekalan Air: Cegah sebelum parah!

MUNGKIN ramai di negara ini yang tidak sedar kemusnahan sungai yang berterusan akibat pencemaran boleh mengancam kehidupan mereka, secara langsung atau tidak langsung.

Rakyat di negara ini setakat ini belum lagi melalui keperitan tiada bekalan air seperti yang ditanggung petani di India di mana ada yang dilaporkan bertindak membunuh diri sejak 1986 kerana tanaman serta ladang yang gagal diusahakan di samping menanggung beban hutang.

Di Cape Town, Afrika Selatan pula, krisis air yang melanda bandar itu bermula 2015 memaksa kerajaan tempatan mengisytiharkan day zero buat pertama kali pada 2017. Istilah day zero merujuk kepada kawalan bekalan air tahap tujuh iaitu bekalan air ke rumah ditutup dan setiap individu hanya boleh mendapat bekalan air sebanyak 25 liter sehari yang disediakan oleh kerajaan tempatan.

Tindakan drastik ini dilakukan selepas pelbagai siri catuan dilaksanakan dalam tahap kawalan bekalan yang sebelumnya, gagal membendung masalah air di kota itu.

Pada 2018, BBC News menyenaraikan 11 bandar di dunia yang berpotensi kehilangan sumber bekalan air minuman iaitu Sao Paulo (Brazil), Bangalore (India), Beijing (China), Kaherah (Mesir), Jakarta (Indonesia), Moscow (Rusia), Istanbul (Turki), Mexico City (Mexico), London (United Kingdom), Tokyo (Jepun) dan Miami (Amerika Syarikat).

Malaysia sebelum ini mengutamakan aktiviti ekonomi berteraskan sektor pembuatan dan industri dan cuma kebelakangan ini mula memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian untuk mengurangkan import bahan makanan.

Secara umumnya juga, sungai tidak dilihat sebagai menjadi sumber air untuk kegunaan harian dengan adanya sistem perawatan air yang menawarkan bekalan air paip terus ke dalam rumah, walaupun hakikinya sumber air terawat itu datang dari sungai juga!

Sistem logisitik negara juga tidak lagi terlalu bergantung kepada laluan sungai dengan adanya sistem lebuh raya dan jalan raya meliputi hampir seluruh negara. Laluan udara dan laut pula menjadi pilihan untuk tujuan pengangkutan jarak jauh.

Mungkin ini sebabnya mengapa sungai tidak lagi dianggap penting dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia berbanding masa lampau sehingga sungai bagi mereka tidak lebih daripada “tong sampah besar” !

PEMANTAUAN LEBIH KETAT

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin, mulai 2020, kementeriannya akan meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan kesalahan berkaitan alam sekitar.

Pihak kementerian beliau juga akan melaksanakan usaha terbaik memantau keadaan sungai di seluruh negara meskipun terdapat pelbagai kekangan untuk berbuat demikian.

Namun dengan penggunaan teknologi seperti penggunaan sensor, beliau berharap usaha itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Di samping itu MESTECC juga akan meningkatkan penguatkuasaan dengan mengenakan kompaun kepada pihak yang melanggar peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Kementerian itu menggandakan sasaran pengeluaran kompaun kepada 30,000 pada 2020 berbanding 15,000 pada 2019.

KESAN GAGAL URUS SUNGAI

Sementara itu, Dr Norhazlina Fairuz Musa Kutty, pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Strategi,  Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berkata kegagalan mengurus sumber air boleh mendatangkan kesan kepada keselamatan negara.

“Di Malaysia kesan dapat dilihat kepada golongan yang tinggal di sekitar lokasi takungan air seperti yang berlaku di Empangan Kelau di Raub, Pahang . Meskipun tinggal di kawasan yang membekalkan air, bekalan air di kawasan itu sendiri kerap terganggu dan memberi kesan kepada Orang Asli dan penduduk setempat, ” kata Norhazlina.

Di bandar Cape Town, krisis bekalan air menyaksikan aktiviti ekonomi terjejas apabila 37,000 orang kehilangan pekerjaan dalam bidang pertanian pada 2015.

Pentadbir negeri, kata beliau, bertanggungjawab menyediakan bekalan air bersih, sama ada disediakan sendiri atau diswastakan.

Bagaimanapun, pihak berkenaan tidak mungkin dapat lagi memainkan peranannya sebagai pembekal yang baik kepada rakyat sekiranya sumber untuk bekalan air tidak wujud.

Menurut beliau, kegagalan ini boleh menimbulkan rantaian masalah kerana isu berkaitan air adalah isu bersifat pelbagai dimensi.

“Bila kita tak ada air kita nak minta dengan siapa? Kalau padi bolehlah kita beli dari Thailand sebab ia satu benda yang boleh diimport. Air boleh diimportkah? Kita nak beli daripada siapa? Kita tak mahu negara kita jadi seperti Singapura pulakan? Singapura negaranya kecil. Kita besar. Ada 14 negeri,” katanya.

Menurut beliau, hala tuju negara sebagai negara industri dan arus permodenan negara antara punca berlakunya pencemaran air, terutamanya apabila masyarakat tidak lagi berasa bergantung secara langsung kepada sumber itu.

Boleh jadi kerana itulah masyarakat hari ini tidak berasa terpanggil untuk bertindak apabila melihat pencemaran sungai berlaku. Lebih buruk lagi apabila mereka tidak pun sedar sungai di sekitar mereka sudah tercemar.

Hanya setelah pencemaran berlaku terlalu teruk sehingga memberi kesan kepada kehidupan manusia secara langsung seperti apa yang berlaku di Sungai Kim Kim yang menyaksikan sisa toksik yang terlampau banyak meruap ke udara sehingga mengakibatkan manusia jatuh sakit barulah masyarakat tersedar betapa teruknya pencemaran yang berlaku.

“Kita sebenarnya memusnahkan sumber alam semula jadi yang ada. Bukannya kita tak ada sumber. Kita ada sungai yang panjang tetapi kita tak cekap menguruskannya. Rasuah berleluasa, semua benda boleh beli, boleh jadi,” dakwa beliau.

PELAJARAN DARI JAKARTA

“Jika kita tak uruskan air dengan baik, kita mungkin akan menghadapi kesan serupa dengan Jakarta yang semakin hari semakin tenggelam. Puncanya adalah ketiadaan sistem WASH (Water and Sanitation and Hygiene) yang baik”

“Jakarta tenggelam pada kadar 10 inci setahun kerana tak ada sistem WASH yang baik seperti pengairan tanaman, perpaipan dan sebagainya, jadi ramai yang ambil bekalan air menggunakan teknik ‘boring’ untuk sedut air daripada bawah tanah, “kata Norhazlina.

Sistem ‘bor’ itu, tambahnya bukan sahaja digunakan oleh rumah-rumah kecil tetapi juga bangunan-bangunan besar.

Berikutan itu, tanah paya yang menjadi asas tanah di Jakarta semakin kekurangan air seterusnya menjadi tanah relai. Akibatnya kota itu sendiri semakin tenggelam akibat struktur tanahnya yang sudah terganggu.

Pada Ogos 2019, Presiden Joko Widodo mengumumkan ibu negara Indonesia akan dipindahkan ke Kalimantan Timur di pulau Borneo sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah ketidakmampuan Jakarta berperanan sebagai ibu negara.

UNDANG-UNDANG BENCANA

Mengenai isu berkaitan sumber air, Norhazlina berpendapat sudah tiba masanya Malaysia memperkenalkan undang-undang bencana.

Beliau menjelaskan, peranan undang-undang bencana adalah untuk membolehkan koordinasi antara pelbagai pihak berwajib agar dapat mengurangkan isu birokrasi dan pertindihan tugas antara kementerian atau jabatan.

Menurut beliau, masalah berkaitan isu pengurusan air memerlukan kerjasama pelbagai pihak kerana sesuatu projek pembangunan tanah pasti akan memberi kesan kepada sumber air di sekitanya.

Penggondolan dan pemotongan lereng bukit memberi impak besar kepada sumber takungan air. Kesan seperti banjir di musim tengkujuh dan banjir kilat adalah dua kesan yang biasa melanda negara namun masih belum dapat dicari penyelesaiannya.

“Kenapa jadi begini? Sebab bukit dipotong. Jangan potong lereng bukit. Negara lain konsep mereka adalah buat pembinaan mengikut landskap asal. Ini melibatkan pengurusan tanah yang berkaitan dengan pengurusan air sebab sumbernya datang daripada bukit.

“Tanpa bukit kita hanya boleh berharap daripada empangan. Kalau berlaku El Nino yang panjang, apa lagi sumber yang boleh kita harapkan? Dalam keadaan dunia hari ini keadaan cuaca pun dah tidak tentu, inilah juga masuk sebagai ancaman persekitaran.

Beliau turut menyentuh tentang tindakan kerajaan yang masih menerima sampah import dari negara luar yang menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

“Sampah dalam negara pun sudah banyak, kita ambil pula sampah dari tempat lain dan buang di negara kita. Sampah ni pula ada yang masuk ke dalam sungai, jadi tak hairanlah kalau tiba-tiba tengok ikan dah terbongkang, ” kata beliau.

IMPAK BERANTAI

United Nations Development Programme (UNDP) menerusi dokumen Human Development Report 1994 menjelaskan terdapat tujuh elemen yang dikategorikan sebagai dimensi baharu keselamatan manusia iaitu keselamatan ekonomi, keselamatan makanan, keselamatan kesihatan, keselamatan alam sekitar, keselamatan peribadi, keselamatan komuniti dan keselamatan politik.

Ketujuh-tujuh elemen ini saling berkait rapat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ia juga mempunyai hubungan berbentuk ‘sebab dan akibat’ antara satu sama lain seperti kekurangan pekerjaan (keselamatan ekonomi) boleh menyebabkan meningkatnya kes jenayah yang memberi kesan kepada keselamatan peribadi.

Menurut Norhazlina situasi sama boleh berlaku dalam isu bekalan air negara.

“Salah urus air boleh menjadi isu keselamatan. Katakanlah air tidak mencukupi untuki saliran ke ladang, sawah atau kolam ikan, bagaimana industri nak berkembang?” tanya beliau, sambil memberi contoh apa yang berlaku di India.

Meskipun kejadian sebegini belum berlaku di Malaysia, namun ada persamaan apabila landskap kehidupan petani dalam negara juga bergantung kepada pinjaman kewangan untuk menjalankan usaha tani.

Di beberapa negeri seperti Andhra Pradesh dan Maharashtra di India, kejadian petani bertindak membunuh diri tanaman tidak menjadi akibat ketiadaan bekalan air.

Kajian bertajuk Agricultural Crisis and Farmers Suicides in India oleh K. Reddy Sai Sravanth dan N. Sundaram yang diterbitkan dalam International Journal of Innovative Technology and Exploring Engineering (IJITEE) edisi September 2019 menjelaskan beberapa punca kejadian ini.

Selain isu harga produk pertanian yang rendah dan kos penanaman yang semakin meningkat, satu lagi punca yang dijelaskan dalam kajian ini adalah kegagalan kemudahan membekalkan air bagi kegunaan pertanian. Sumber bekalan air bawah tanah yang berkurangan turut menyumbang sehingga mengakibatkan pengeluaran yang rendah.

Kebanyakan pentani kecil (saiz kurang satu hektar) di sana amat bergantung kepada pinjaman kewangan daripada bank, ahli keluarga dan sahabat handai. Hasil tanaman yang rendah menyebabkan pendapatan mereka turut merudum. Akibatnya mereka tidak mampu membayar hutang.

Belenggu hutang para petani yang terkesan dengan masalah ini menyebabkan mereka menghadapi gangguan emosi, tekanan jiwa dan tekanan pihak keluarga. Rasa bersalah kerana gagal mengurus keluarga akhirnya mendorong sesetengahnya membunuh diri! – BERNAMA

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago