Sulaiman lebih selesa ‘bersedekah’ jual durian

Sulaiman lebih selesa ‘bersedekah’ jual durian

Jom ke Melaka sekarang nikmati lambakan durian...semuanya murah-murah!

KLEBANG 11 Jun – “Pakcik tak sampai hati nak letak harga tinggi-tinggi, kita berniaga mesti ada hati juga, kalau mahal sangat pun tiada yang nak beli,” kata seorang penjual durian, Sulaiman Husin, 70, di sini.

Sulaiman merupakan bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kali terakhir memegang pangkat sebagai Bentara Kanan TLDM lebih gemar ‘bersedekah’ dengan merendahkan harga durian yang dijualnya.

Dia yang mula berniaga kira-kira 30 tahun lalu, lebih selesa berniaga menggunakan taktik itu supaya para pembeli terutama yang kurang berkemampuan dapat merasai keenakan raja buah-buahan itu.

“Buat masa ini pakcik berniaga ikut harga semasa bagi durian IOI harganya RM20 sekilo, kampung RM10 dan Musang King RM45.

“Tapi boleh tawar lagi, kalau tak mampu juga, saya sedekahkan sahaja beberapa ulas bagi mereka merasa.

“Tak rugi pun bersedekah, kalau kita yakin dan bersyukur lagi banyak rezeki Allah beri,” katanya yang berulang alik ke Johor untuk mendapatkan stok durian selepas menunaikan solat Subuh setiap hari.

Bapa kepada sembilan cahaya mata ini turut mengakui modal perniagaan mendapatkan buah durian makin meningkat susulan permintaan orang ramai yang menjadikan harganya melambung berbanding tahun 1990an dahulu.

“Kalau dulu, tauke kebun durian jual ikut bakul, sekarang ikut kilogram (kg) dan biasanya modal antara RM700-RM800 sahaja, sekarang mungkin RM3,000-RM4,000.

“Paling minima pun mungkin RM1,500 bergantung pada kualiti durian dan jenis,” katanya.

Ditanya mengenai pendapatan harian menjual durian dan variasi mana yang menjadi pilihan orang ramai, Sulaiman berkata, ia bergantung kepada pembeli.

“Adakalanya pendapatan mampu mencecah antara RM200 hingga RM300 sehari, namun bergantung juga.

“Dan durian IOI dan D24 paling laku sekarang, mungkin sebab perbezaan harganya, namun segalanya terpulang pada selera dan kewangan pembeli,” katanya.

CATEGORIES
TAGS