Suburkan kembali lagu patriotik

Suburkan kembali lagu patriotik

Setuju atau tidak, lagu-lagu patriotik dahulu lebih patriotik berbanding lagu sekarang. Contohnya lagu `Barisan Kita'

BUKIT BARU 28 Ogos – Lagu berunsur patriotik harus disuburkan kembali terutama kepada golongan muda kerana ia merupakan salah satu daripada langkah menyemai rasa cinta kepada negara.

Penyanyi yang begitu sinonim dan popular dengan lagu patriotik, Roy atau nama sebenarnya Mohammed Raizan Alwi, 55, berkata, generasi muda hari ini dilihat kurang berminat menyanyikan lagu patriotik berbanding genre lain yang lebih mudah diterima pada hari ini.

Menurutnya, ini berikutan lagu genre itu dilihat lebih sukar dinyanyikan kerana kebanyakan lagu patriotik berentak “march” dan teknik nyanyiannya pula agak serius.

“Malah lagu patriotik juga memerlukan penghayatan dan teknik nyanyian tersendiri supaya mesej dapat disampaikan dengan berkesan dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat dan menyemai serta memupuk rasa kasih, sayang dan cinta kepada tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MelakaKini selepas ditemui pada Pertandingan Lagu-Lagu Patriotik sempena Bulan Kebangsaan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) di Dewan Perpustakaan Negeri, dekat sini, semalam.

Hadir sama pada pertandingan itu, Ketua Bahagian Zon Melaka Tengah PERPUSTAM, Mohd Arshad Yasak yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pada pertandingan itu, lagu Ilham Pujangga nyanyian Bob Adly berjaya menarik perhatian juri sekali gus menjuarai pertandingan yang turut disertai 11 peserta lain.

Menurut Roy yang juga terkenal dengan lagu Kau Ratnaku, lagu-lagu genre patriotik sebenarnya mampu meningkatkan semangat dan rasa kasih serta cinta kepada negara kerana rentak lagunya yang bersemangat.

“Selain lagu-lagu patriotik lama berentak “March” kini, terdapat juga lagu berunsur patriotik yang moden seperti lagu Gemuruh yang didendangkan oleh Faizal Tahir yang saya lihat dapat memberi semangat dan meningkatkan jati diri generasi muda hari ini,” katanya.

 

Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES