Staf MPHTJ konvoi motosikal beri sumbangan

Staf MPHTJ konvoi motosikal beri sumbangan

AYER KEROH 8 Feb – Atas inisiatif membantu masyarakat, seramai 30 bikers yang terdiri daripada kakitangan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turun padang menyertai konvoi bermotosikal bagi menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Yang Dipertuanya, Mahani Masban, berkata ‘MPHTJ Bikers’ yang baharu ditubuhkan pihaknya antara inisiatif lain adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama kakitangan biarpun berlainan unit dan jabatan.

“Walaupun ahlinya tidak ramai iaitu sekitar 30 orang, namun ia tetap dapat menggerakkan aktiviti berbentuk sosial dan kemasyarakatan demi membantu kelangsungan hidup golongan yang dikenalpasti.

“Selain berbuat amal, ia turut bertujuan mengeratkan silaturahim kakitangan yang cintakan aktiviti bermotosikal dan juga melaksana aktiviti sihat untuk kecergasan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Mobile Legend Piala Yang Dipertua MPHTJ di Ayer Keroh di sini, Sabtu lalu.

Mahani menambah, pihaknya bercadang menjadikannya (konvoi) sebagai acara tahunan MPHTJ dan berharapkan lebih ramai kakitangan melibatkan diri dalam program amal sedemikian.

“Alhamdulillah sambutan daripada kakitangan sangat memberangsangkan dan jika boleh kita mahu ia (konvoi) dijadikan sebagai acara tahunan MPHTJ.

“Saya amat menggalakkan lebih ramai lagi kakitangan MPHTJ turut serta dalam program sebegini, bukan senang mahu berkumpul beramai- ramai selepas habis waktu kerja, jadi ini juga adalah salah satu peluang,” katanya.

CATEGORIES