Categories: PELANCONGAN

Ada apa di Stadthuys?

MENARA jam yang menjadi identiti bangunan Stadthuys.

KAPAL dagang dari seberang,
Sarat muatan kayu jati,
Dari jauh tuan datang,
Orang Melaka sedia menanti!

Itulah rangkap pantun yang bagaikan sudah sebati dengan pengunjung mahupun pelancong yang sering berulang-alik ke negeri yang cukup kaya dengan sejarah tersendiri ini.

Bait-bait pantun itulah menjadi pembuka bicara yang seakan-akan menggamit kunjungan sesiapa saja yang bertandang ke negeri Hang Tuah ini.

Melaka tapak warisan dunia

AIR pancut terdapat di perkarangan Stadthuys antara kawasan pilihan pelancong untuk mengabadikan gambar kenangan apabila melawat ke Stadthuys.

Sejarah Melaka yang terkenal seperti bangunan Stadthuys telah membawa perkembangan positif di mana negeri ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Sejak mendapat pengiktirafan itu, nama Melaka terus memuncak di peta dunia apabila ramai pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan Asia Barat mula berkunjung ke negeri ini ingin melihat kesan peninggalan sejarah lama yang pernah didatangi penjajah seperti Portugis, Inggeris dan Belanda.

Tumpuan utama pelancong di kawasan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di sekitar Banda Hilir.

Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO mempunyai dua lokasi iaitu kawasan yang dikenali sebagai Zon Teras seluas 45.3 hektar dan Zon Penampan pula membabitkan kawasan seluas 242.8 hektar.

Di kedua-dua zon tersebut terdapat 3,050 buah bangunan rumah kedai merangkumi bangunan-bangunan awam, rumah persendirian, rumah ibadat dan sebanyak 80 peratus pemilikan bangunan di tapak ini milik persendirian.

Sebanyak 900 bangunan terdapat di zon teras manakala selebihnya di kawasan zon penampan.

Dikenali sebagai ‘Dewan Perbandaran’

Stadthuys dalam bahasa Belanda dikenali sebagai dewan perbandaran. Bangunan Stadthuys yang serba merah warnanya merupakan sebuah binaan yang bersejarah dibina oleh kuasa Belanda semasa menguasai pentadbiran Melaka.

Bangunan ini dibina di antara tahun 1641 hingga 1660 dipercayai merupakan bangunan Belanda yang paling lama di Timur.

PELANCONG boleh membeli cenderamata di gerai-gerai yang terdapat di sekitar bangunan Stadthuys sebagai kenangan.

Penempatan rasmi gabenor Belanda

Bangunan bersejarah ini terletak bersebelahan Gereja Christ di Jalan Laksamana dan pernah digunakan sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda.

Kini, bangunan ini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera serta Muzium Pemerintahan Demokrasi.

Sejarah di bidang pendidikan

Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys.

Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun, kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri anak-anak golongan Cina yang kaya.

Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825 menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka.

Surat itu dikirimkan kepada Majlis Perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten.
Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah T.H. Moore.

Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang.

FOTO nostaligia waktu dahulu sekitar kawasan Stadthuys

Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama.

Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti bahasa Melayu, Portugis dan Cina juga diajar.
Pada Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut dari golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka.

Pengetuanya barunya ialah A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.

Ahmad Fuad Bin Ramdan

Leave a Comment
Share
Published by
Ahmad Fuad Bin Ramdan
Tags: visitmelaka

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago