Sokong warta taman awam – Mas Ermieyati

Sokong warta taman awam – Mas Ermieyati

MASJID TANAH 12 Feb. – Pewartaan tanah di kawasan taman awam setiap negeri harus dilaksanakan untuk mengekalkan kehijauan alam sekitar.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin berkata, pewartaan kira-kira 250 ekar bagi setiap negeri yang direncana kerajaan seharusnya disokong kerana mampu mengekalkan alam sekitar daripada dicemari.

“Walaupun kepesatan negara yang membangun dalam memenuhi keperluan setempat, ia mampu melindungi tanah ini daripada diceroboh. Malah, ia mampu digunakan sebagai kawasan beriadah yang perlu dikekalkan sebagai lokasi hijau.

“Kita lihat beberapa negara maju lain tidak semua tempat ditarah untuk pembangunan, namun masih ada lagi kawasan yang dijadikan taman awam untuk penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bukit Beringin di sini, semalam.

Tambahnya, melalui perlaksaan berkenaan, beliau turut berharap Taman Rekreasi Bukit Beringin yang menjadi tarikan penduduk juga dinaik taraf dengan pelbagai pembangunan fasiliti agar ia tidak terjejas.

Menurutnya, sekiranya usaha menaik taraf dapat dilaksanakan ia mampu memberi impak kepada orang awam sekali gus memberi persepsi rakyat yang baik terhadap kerajaan.

“Saya memuji usaha pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan harap penambahbaikan di taman awam di Masjid Tanah perlu dinaik taraf bagi mengekalkan keindahan dan mampu membina ke arah budaya hidup sihat.

“Sekiranya terdapat kerja-kerja penebangan pokok bagi pembangunan di dalam kawasan taman, ia perlu digantikan dengan pokok baharu agar kerencatan ekosistem tidak terganggu,” katanya.

Terdahulu, melalui perancangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sedang berusaha mewartakan tanah taman awam seluruh negara sekurang-kurangnya 250 ekar di setiap negeri dan akan diuruskan oleh Jabatan Landskap Negara.

OLEH: FAIZ HASAN

CATEGORIES