SMK Malim wakil Melaka pertandingan kantin terbaik kebangsaan

SMK Malim wakil Melaka pertandingan kantin terbaik kebangsaan

Semoga muncul juara di peringkat kebangsaan sekali gus mengharumkan nama Melaka

MALIM 13 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim terpilih mewakili Melaka pada Pertandingan Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik (AAPKT) peringkat kebangsaan 2019.

Pengetua SMK Malim, Rosidah Harun berkata, program anjuran Kementerian Pendidikan itu mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan bertujuan menerapkan budaya penyediaan makanan sihat dan selamat.

“Ia juga bagi meningkatkan kesedaran kepada warga sekolah mengenai kepentingan kesihatan, kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan untuk dinikmati para guru serta pelajar.

“Menyedari betapa pentingnya peranan kantin, pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran pelajar termasuk guru mengenai pentingnya sesebuah sekolah itu memiliki kantin yang berkualiti.

Menerusi program tersebut, ia dapat meningkatkan pemahaman serta memupuk amalan 3K iaitu Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan dalam kalangan murid,”
jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Malim, Datuk Mokhtar Haron berkata, pemilihan kantin SMK Malim untuk mewakili Melaka pada AAPKT peringkat kebangsaan tahun ini akan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan warga sekolah dalam menjaga kepentingan kesihatan, kebersihan dan keselamatan makanan serta minuman di kantin sekolah.

“Program kesedaran kantin berkualiti itu perlu melibatkan kerjasama murid, guru dan PIBG untuk bersama-sama memastikan kantin sentiasa bersih dan tahap keselamatan makanan terjamin dalam membudayakan amalan cara hidup sihat di sekolah dengan memiliki kantin yang berkualiti.

“AAPKT diadakan bagi melengkapkan usaha pihak kementerian meningkatkan kefahaman serta memupuk amalan kebersihan, kesihatan dan keselamatan makanan dalam kalangan pelajar.

“Selain itu, ia juga untuk mengeratkan lagi kerjasama antara pengusaha kantin, warga sekolah dan PIBG. Kami mahu pengiktirafan diberikan kepada pengusaha kantin dan juga warga sekolah serta pihak PIBG berikutan ketiga-tiga kelompok ini merupakan enjin dalam meningkatkan mutu kesihatan, kebersihan dan keselamatan  kantin sekolah,” katanya.

Oleh: AZHAR YUSOF

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS