SMK Malim naib johan kantin terbaik kebangsaan

SMK Malim naib johan kantin terbaik kebangsaan

Sekolah-sekolah di Melaka memang hebat-hebat belaka!

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim muncul naib johan pada Majlis Pengiktirafan Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan (APKT) 2019 di sini baru-baru ini.

Selaku naib johan, SMK Malim membawa pulang RM4,000, plak dan sijil yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Tempat pertama disandang SMK Bari, Miri, Sarawak sekali gus membawa pulang RM5,000 piala pusingan dan sijil manakala tempat ketiga dimenangi SMK Raja Perempuan, Ipoh, Perak yang membawa pulang RM3,000, piala, plak dan sijil.

Pengetuanya, Rosidah Harun menerima hadiah mewakili sekolah tersebut yang turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Malim, Datuk Mokhtar Haron.

APKT yang dibahagikan kepada empat kategori dianjurkan Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kesihatan serta syarikat Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membudayakan amalan kesihatan, keselamatan dan kebersihan makanan.

Sebanyak 64 penyertaan melibatkan 32 SMK dan 32 Sekolah Kebangsaan (SK) dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyertai APKT tersebut.

Bercakap kepada MelakaKini, Rosidah memberitahu, kemenangan itu merupakan satu petunjuk bahawa SMK Malim mempunyai hubungan baik dengan pengusaha kantin dan PIBG.

“Ia juga membuktikan kantin SMK Malim merupakan tempat yang baik untuk menyediakan makanan seimbang dan berkualiti untuk pembesaran dan kesihatan pelajarnya dalam usaha menjadikan mereka berjaya menjadi insan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Mokhtar memberitahu, kejayaan SMK Malim itu merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuk pentadbir sekolah, pengusha kantin, PIBG, ibu bapa dan pelajarnya.
“PIBG sebelum ini menekankan pemakanan berkhasiat sejak 3 tahun lalu dan sentiasa menekankan kebersihan dan keindahan persekitaran kantin dan sebagainya.

“Tema ‘Cowboy’ yang digunapakai di kantin SMK Malim sejak sekian lama di sekolah itu berikutan terdapatnya Kelab Berkuda dan mempunyai beberapa ekor kuda yang disumbangkannya demi melahirkan pelajar yang meminati sukan berkuda di sekolah berkenaan,” katanya.

Oleh AZHAR YUSOF

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES