Sky Tower The Shore buat pelancong terpukau

Sky Tower The Shore buat pelancong terpukau

KEGEMILANGAN Melaka sudah terbukti sejak 600 tahun dahulu, Melaka menjadi pusat perdagangan utama dunia, ketika itu terdapat lebih 80 bahasa digunakan. Kehebatan Melaka dan sejarahnya tidak pernah luntur, malah semakin didengari diseantero dunia sehingga berjaya menarik kedatangan pelancong lebih 14 juta orang setahun.

Melaka negeri yang kecil, tetapi punyai nafsu yang kuat untuk menjadi negeri yang terbaik setiap hari. Pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan negeri dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun swasta untuk sama-sama membantu meningkatkan lagi nama Melaka.

Kehadiran pelancongan ke negeri ini sudah tentu kerana peningglan sejarahnya yang kini dipulihara bagi tatapan pada masa depan. Di samping itu pelbagai lagi produk baharu telah diwujudkan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri bersejarah ini.

Oleh itu jika tidak mahu ketinggalan, The Shore iaitu bangunan tertinggi di Melaka kini mengorak langkah lebih jauh dengan idea berani mereka apabila mewujudkan Sky Tower terletak pada ketinggian 153 meter.

 

The Shore Sky Tower

PEMANDANGAN waktu malam dari Sky Tower.

The Shore terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka menjanjikan kelainan dan kepuasan maksima kepada para pelancong.

Jika sebelum ini, orang ramai hanya melihat di kaca televisyen orang berdiri di atas kaca telus di tempat tinggi yang menguji keberanian seseorang.

Tetapi kini orang ramai boleh mencuba ia di The Shore. ‘Sky Tower’ menyediakan produk seumpama itu dan ia merupakan yang pertama di Malaysia.

 

 

Berada di ketinggian 163 meter

PEMANDANGAN Melaka dari Sky Tower tingkat 43 The Shore.

Dek pemerhatian ‘observatory deck’ yang terjulur keluar dari bangunan sejauh hampir 10 kaki pada ketinggian 163 meter dari paras laut iaitu di tingkat 43 pasti membuatkan seseorang itu gugup dan gayat.

Manakan tidak, dek pemerhatian tersebut hanya berlantaikan lubsinar berdinding kaca telus yang membuatkan seseorang berdiri atasnya berasa seperti terapung di awangan.

Dek pemerhatian itu dijamin selamat oleh pihak keselamatan dan pihak The Shore mampu menampung hingga lima orang pada satu-satu masa walaupun had sebenar lebih dari itu. Tetapi atas dasar keselamatan dan keselesaan had ditetapkan, ia hanya beberapa orang sahaja.

Untuk ke dek pemerhatian itu, orang ramai perlu menaiki lift hingga ke tingkat 41 dan kemudian menaiki lift kedua ke tingkat 42.

Setibanya di tingkat 42, orang ramai akan disapa dengan senyuman oleh kakitangan The Shore yang akan memberi taklimat dan di sini juga terletak kaunter jualan tiket.

 

The Sky Deli

Di tingkat 42 sebelum anda ke tingkat 43, terdapat sebuah restoran iaitu ‘The Sky Deli’ .

Sky Deli’ memberikan pengunjung satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan di mana anda boleh menikmati makanan dan minuman sambil menikmati pemandangan Negeri Melaka sama ada siang atau malam.

 

Pemandangan 360′ negeri Melaka

Dari puncak The Shore juga orang ramai boleh melihat Selat Melaka yang sangat terkenal sejak dahulu lagi, kawasan penambakan laut, Masjid Al Azim, Bukit Cina serta kawasan-kawasan pelancongan di Banda Hilir.

Selain itu, pihak The Shore turut menyediakan enam unit teleskop untuk kegunaan anda bagi meneropong lebih dekat kawasan yang ingin dilihat.

Bagi kanak-kanak, golongan ini antara paling teruja kerana di tingkat 43 terdapat juga kolam Ikan koi yang berlantaikan kaca di mana orang ramai di tingkat 42 juga berpeluang melihat ikan berenang dari bawah.

Sky Tower juga turut menjadi destinasi bagi pasangan baru berkahwin untuk mengabdikan kenangan dan pihak The Shore turut tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan.

 

Pusat membeli-belah komtemporari

The Shore merupakan pusat membeli-belah baharu terletak bersebelahan Sungai Melaka, The Shore Shopping Gallery bakal menjanjikan keselesaan serta pelbagai pilihan produk berjenama kepada para pengunjungnya.

Dibuka secara rasmi pada Disember 2014, The Shore Shopping Gallery berkonsepkan Lifestyle-Tourism memberikan kepuasan buat pengunjung terutama pelancong dan sesiapa yang mementingkan gaya hidup terkini.

Lokasinya yang strategik iaitu berdekatan kawasan tumpuan utama pelancongan seperti Little India, Jonker Walk dan Muzium Stadhuys menonjolkan potensi pusat beli-belah ini sebagai salah satu kawasan utama membeli-belah kontemporari di negeri ini.

CATEGORIES
TAGS