Skuad B-15 perlu kerja keras untuk kekal konsisten – Hamidin

Skuad B-15 perlu kerja keras untuk kekal konsisten – Hamidin

Konsisten, jangan kelaut..

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meminta agar pemain skuad kebangsaan bawah 15 tahun (B-15) untuk bijak mengawal emosi dan berdisiplin sepanjang kempen Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 pada 18 hingga 22 Sept ini di Laos.

Beliau berkata walaupun FAM mementingkan pembangunan pemain berbanding kemenangan namun penting untuk pemain kekal konsisten apabila melangkah ke saingan berkenaan dengan status juara Kejohanan AFF B-15 2019.

Skuad negara sebelum itu turut melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara kejohanan jemputan remaja antarabangsa Persatuan Bola Sepak China (CFA) di Haikou City, China Julai lepas.

Justeru, Hamidin berkata skuad B-15 di bawah kendalian jurulatih P. Maniam perlu berusaha tiga kali ganda jika mahu mencipta kejayaan dengan konsisten.

“Selepas menjuarai AFF di Chonburi, Thailand, 9 Ogos lalu, saya yakin ramai yang akan memandang kita sebagai pesaing hebat maka pastinya mereka mahu menundukkan kita.

“Maka penting untuk kita berusaha lebih gigih dengan menumpukan sepenuh perhatian pada kejohanan dan sentiasa patuhi arahan jurulatih,” katanya pada majlis yang diadakan malam tadi bagi meraikan skuad B-15 sebelum berlepas ke Laos, Jumaat ini.

Majlis makan malam itu diadakan di kediaman Naib Presiden FAM yang juga merangkap pengurus pasukan, Datuk S. Sivasundaram.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J pada Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 bersama-sama Jepun, Kemboja dan tuan rumah, Laos.

Skuad muda negara akan membuka kempen kelayakan AFC menentang Kemboja pada 18 Sept (Rabu) diikuti aksi berdepan tuan rumah Laos pada 20 Sept (Jumaat) dan Jepun pada 22 Sept (Ahad) dengan ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Nasional Laos.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES