Skuad ARiF pergiat usaha bantu mangsa banjir Melaka

Skuad ARiF pergiat usaha bantu mangsa banjir Melaka

Terima kasih kerana sudi membantu

BUKIT BERUANG 2 Dis. – Skuad Amal Relief (ARiF), iaitu sebuah badan sukarelawan mula bergerak aktif menjalankan misi kemanusian susulan masalah banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Melaka, semalam.

Pengarah ARiF Melaka, Hairul Anuar Samat berkata sejak kejadian banjir kilat mula berlaku semalam, pihaknya telah menggerakkan sukarelawan untuk memberi bantuan kemanusiaan seperti memindahkan penduduk ke kawasan selamat dan membersihkan rumah-rumah yang terjejas.

“Kita telah mula menggerakkan sukarelawan sejak malam tadi di beberapa buah kawasan seperti di Taman Bukit Beruang, Taman Merak Emas dan Kampung Paya Ikan melibatkan kira-kira 15 buah rumah.

“Sekarang (hari ini), kita bergerak pula ke Rumah Awam Bukit Beruang untuk membantu membersihkan rumah-rumah yang dinaiki air di kawasan ini.

“Namun, fokus utama kami ialah untuk membantu golongan uzur, warga emas, orang kelainan upaya dan wanita terlebih dahulu dan kemudian barulah beralih kepada bantuan untuk masyarakat awam yang memerlukan,” katanya.

Menurut Hairul Anuar lagi, skuad ARiF Melaka bukan sahaja menjalankan kerja-kerja kemanusiaan berkaitan bencana alam di negeri ini, bahkan pihaknya juga akan menjalankan misi bantuan ke Pantai Timur, iaitu Kelantan yang sedang terjejas teruk disebabkan bajir.

Jelasnya, seramai lapan sukarelawan dari Melaka akan terlibat dalam misi kemanusiaan itu yang bertujuan untuk mengagihkan makanan dan barang keperluan selain menjalankan khidmat cuci rumah dan sebagainya.

Sementara itu, seorang penduduk di Rumah Awam Bukit Beruang, Kaliamah Ramachandran, 35 mengucapkan terima kasih kepada skuad ARiF yang sanggup turun padang membantu membersihkan rumahnya.

Menurutnya, bantuan itu sedikit sebanyak mengurangkan bebannya dan anak-anak dalam membersihkan kawasan dalam rumah yang dinaiki air setinggi paras lutut dalam kejadian semalam.

“Ketika kejadian semalam saya tidak ada di rumah, dan bila sampai tengok rumah sudah dinaiki air. Sebab itulah kami tidak sempat mengalihkan beberapa alatan elektrik seperti televisyen, astro yang kini telah rosak.

“Ini kali kedua kawasan ini dinaiki air dan apa yang berlaku semalam ada lebih teruk berbanding Oktober lalu, tetapi apa pun, saya mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya.

CATEGORIES
TAGS