Skim At-Taisir kaedah pintar bayar zakat

Skim At-Taisir kaedah pintar bayar zakat

Satu lagi teknologi baharu dalam melancarkan umat Islam menunaikan Rukun Islam. Tiada alasan lagi untuk umat Islam yang layak untuk menunaikan zakat

BANDA HILIR 24 Jun – Zakat Melaka melancarkan Skim At-Taisir yang menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui potongan secara automatik atau `auto debit’ tanpa melalui majikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata, skim itu adalah sistem potongan gaji secara bulanan melalui bank yang sekali gus memberi penyelesaian kepada pihak majikan.

“Ia memberi kemudahan pada majikan yang tidak boleh menguruskan potongan zakat melalui skim potongan gaji majikan.

“Ia proses pemotongan gaji secara serta merta tanpa memerlukan dokumentasi yang banyak (mudah dan cepat) serta patuh syariah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim At-Taisir dan Skim EZ Zakat Muamalat serta sambutan Hari Raya Aidilfitri Zakat Melaka di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat.

Skim yang dilancarkan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar itu adalah kolaborasi pintar bersama Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) dan sebuah lagi syarikat swasta.

Pada majlis itu, Zakat Melaka turut memperkenalkan Skim EZ Zakat Muamalat yang merupakan fasiliti baharu yang ditawarkan Bank Muamalat.

“Skim ini bagi membuat pengiraan dan potongan zakat ke atas akaun simpanan dan akaun semasa
pendeposit.

“EZ zakat memudahkan semua pelanggan Bank Muamalat menunaikan kewajipan berzakat atas wang simpanan mereka,” katanya.

Katanya, pendeposit tidak perlu ke pejabat zakat untuk membuat pembayaran dan potongan zakat akan dilakukan secara automatik apabila cukup haul dan nisab.

“Menerusi skim ini, pendeposit dapat pelepasan cukai pendapatan. EZ zakat ditawarkan di 64 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara, hingga hari ini sebanyak tiga agensi zakat telah meterai perjanjian usahasama ini,” katanya.

Selain Melaka, dua lagi pusat pengurusan zakat itu ialah Wilayah Persekutuan dan Lembaga Zakat
Selangor.

 

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka dengan Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS